abcd

Yoppa

nuffnang

Risalah Ramadan - Nuktah Kelima

Hikmah 5: Pendidikan Jiwa


Puasa Ramadan juga bertujuan untuk mendidik jiwa manusia yang sentiasa menyuruh melakukan kejahatan. Ia juga bertujuan untuk membentuk akhlak dan membebaskan diri daripada melakukan tindakan yang melulu. Di sini, kita akan ketengahkan salah satu hikmahnya, iaitu:

Kerana lalai dan alpa, jiwa manusia akan melupakan zatnya. Ia tidak nampak kelemahan, kekurangan dan kehendak yang terdapat dalam jiwanya itu. Kelemahan dan kekurangan itu memang banyak dan kehendaknya pula tidak terbatas. Bahkan, ia tidak mahu melihat perkara-perkara yang tersembunyi dalam jiwanya itu. Ia tidak sedar betapa lemah dirinya, betapa ia terdedah kepada kemusnahan dan betapa banyaknya kesukaran yang akan dihadapinya. Ia lupa pada asal usul kejadiannya. Ia lupa bahawa ia mempunyai daging dan tulang yang akan rosak dan binasa dengan cepat. Oleh sebab lupa dan alpa itu, ia bertindak dengan menyangka bahawa ia diperbuat daripada besi waja. Ia menyangka bahawa ia tidak akan musnah. Ia menyangka bahawa ia tidak akan mati, bahkan ia menyangka bahawa ia akan kekal dan abadi buat selama-lamanya. Lantaran itu, kita dapati ia terlalu bergantung kepada dunia. Ia mencampakkan dirinya ke dalam pelukan dunia itu dengan membawa keinginan dan ketamakan yang amat sangat. Ia mengikat dirinya dengan dunia itu dengan kemesraan dan kasih sayang yang bersemarak. Ia menguatkan cengkamannya ke atas semua benda yang lazat dan berfaedah. Setelah itu, ia melupakan Penciptanya, yang telah memeliharanya dengan penuh kasih sayang. Ia akan terjerumus ke dalam jurang kelakuan yang buruk. Seterusnya, ia akan lupa kepada akibat dan kesudahan hidupnya serta kehidupan akhiratnya.


Akan tetapi melalui ibadat puasa, orang yang paling lalai dan paling degil sekalipun akan merasai kelemahan, keterbatasan dan kemiskinan mereka. Melalui rasa lapar, setiap orang akan berfikir mengenai diri dan perut mereka yang berkeroncong itu. Mereka akan berfikir tentang keperluan perut mereka. Dari situ, mereka akan berfikir betapa kerdilnya diri mereka, betapa ia memerlukan rahmat Allah dan kasihan belas-Nya. Nun jauh di lubuk hatinya, ia berasa terlalu ingin untuk mengetuk pintu taubat Allah, dengan penuh kelemahan dan kekerdilan yang nyata, jauh daripada perasaan takbur. Di samping itu, mereka juga bersiap sedia untuk mengetuk pintu rahmat Ilahi dengan penuh rasa kesyukuran.

(Sumber Asal: Risale An-Nur, Bediuzzaman Said Nursi)