abcd

Yoppa

nuffnang

Kalimah Keduapuluh Satu

MAQAM PERTAMA

Kerinduan dan kecintaan kepada solat

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

 اِنَّ الصَّلٰوةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَاباً مَوْقوُتاً

Pada suatu hari, seseorang yang berumur, bertubuh sasa dan mempunyai kedudukan tinggi berkata kepadaku: “Sesungguhnya sembahyang itu memang sesuatu yang baik. Tetapi menjalankannya berulang kali sebanyak lima kali setiap hari adalah bilangan yang amat banyak. Maka bilangannya yang banyak itu adalah tanpa penamat itu menjadikannya sesuatu yang meletihkan.”

Seberapa ketika selepas mendengar kata-kata tersebut, aku cuba mendengar pada jiwaku, dan aku dapati ia juga turut mengungkapkan perkataan yang sama! Lalu aku memerhatikan kalimah-kalimah tersebut. Kemudian aku terlihat bahawa ia telah mengambil pengajaran yang sama daripada syaitan melalui telinga kemalasan. Ketika itu aku memahami: Kata-kata tersebut seolah-olah telah diungkapkan dibawah nama lidah nafsu al-ammarah bi al-su’. Ataupun, ia telah digesa/didorong. Maka aku berkata: “Oleh kerana zat jiwaku adalah nafsu yang ammarah bi al-su’, maka sesiapa yang tidak mampu memperbaiki dirinya sendiri tidak akan mampu memperbaiki orang lain. Oleh kerana itu, aku haruslah mulakannya dengan jiwaku sendiri.“ Lalu aku berkata:
Wahai jiwaku! Dengarlah lima ‘peringatan’ daripadaku sebagai balasan perkataan yang engkau ungkapkan dalam kejahilan murakkab dan dibuai kelalaian di ambang katil kemalasan.”



Peringatan Pertama

Wahai jiwaku yang malang! Aku mahu bertanya, apakah umurmu abadi? Apakah engkau mempunyai sebarang surat perjanjian yang menjamin engkau akan terus hidup hingga tahun hadapan, bahkan esok hari sekalipun?
Apa yang menjadikan engkau jemu dan bosan adalah kerana engkau menyangka bahawa engkau akan hidup selama abadi. Engkau merungut seolah-olah engkau akan memiliki kenikmatan kekal abadi di atas dunia ini.

Jika engkau memahami bahawa umur engkau adalah singkat dan bahawa ia berlalu dengan sia-sia tanpa sebarang hasil, maka tidak diragukan lagi bahawa menggunakan sebahagian daripada dua puluh empat bahagian daripadanya demi menunaikan satu khidmat yang baik dan tugas yang merehatkan, yang merupakan rahmat kepada engkau dan wasilah untuk memperoleh kehidupan yang bahagia lagi abadi, menggunakan sebahagian daripada waktu itu tidaklah boleh menjadi sebab kejemuan dan kebosanan, bahkan ia adalah wasilah yang membangkitkan kerinduan yang sejati dan perasaan yang indah.




Peringatan Kedua

Wahai jiwaku yang haloba! Setiap hari engkau memakan roti, meminum air dan menyedut udara untuk bernafas. Tidakkah perbuatan yang engkau lakukan secara berulang-ulang itu menyebabkan engkau merasa jemu dan bosan?

Tidak syak lagi jawapannya ialah tidak. Kerana berulang- ulang melakukan sesuatu yang diperlukan tidak menyebabkan kejemuan dan kebosanan, bahkan ia memperbaharui rasa kelazatan. Oleh itu, sembahyang yang membawa makanan bagi hatiku, air kehidupan bagi ruhku dan bayu sepoi bahasa bagi hakikat ketuhanan yang tersembunyi di dalam tubuhku pasti tidak akan menjadikan engkau jemu dan bosan selama- lamanya.

Ya! Sesungguhnya hati yang terdedah kepada pelbagai jenis kedukacitaan dan kesakitan yang tidak bersempadan, hati yang sentiasa terfitnah dengan segala cita-cita dan kelazatan yang tidak berpenghujung pasti tidak akan memperoleh kekuatan dan makanan melainkan dengan mengetuk pintu Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mulia dan yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu dengan penuh merendah diri dan pengharapan.

Sesungguhnya hati yang bergantung dengan hampir keseluruhan benda-benda wujud yang datang dan pergi dengan cepat di atas dunia yang fana ini, tidak akan dapat meneguk air kehidupan melainkan dengan menuju kepada punca air kerahmatan Tuhan yang disembah lagi kekal dan kekasih yang abadi dengan menunaikan sembahyang.

Sesungguhnya rahsia kemanusiaan yang mempunyai perasaan yang halus, iaitu rahsia nurani ketuhanan yang dicipta dalam diri manusia untuk kekal selama-lamanya dan yang merindukan Allah secara fitrahnya, juga yang merupakan cermin bagi membalikkan jelmaan diri Allah s.w.t., sudah pasti amat perlu kepada udara untuk bernafas dalam menjalani kesibukan, kekerasan dan tekanan keduniaan yang membinasa, menjerut, berlalu dan menggelapkan. Semua itu tidak dapat dilakukan melainkan dengan menyedut udara daripada tingkap sembahyang yang ditunaikan.




Peringatan Ketiga

Wahai jiwaku yang berkeluh kesah! Hari ini engkau merasa resah dan gundah-gulana kerana mengingatkan kepenatan beribadat yang telah engkau lakukan pada masa-masa yang lalu dan kesukaran bersembahyang serta kesibukan musibah yang telah menimpa.
Kemudian engkau juga memikirkan tentang kewajipan beribadat pada hari-hari akan datang serta khidmat yang perlu dilakukan untuk menunaikan sembahyang serta kesakitan musibah yang mesti dihadapi. Oleh itu, engkau menjadi bimbang, kurang sabar, bahkan hilang sabar. Adakah keadaan ini patut lahir daripada seseorang yang berakal?

Perumpamaan engkau yang tidak sabar ini sama seperti seorang ketua tentera bodoh yang mengarahkan satu pasukan yang besar daripada anggota tenteranya untuk menghadapi pihak musuh dari sebelah kanan, sedangkan pihak musuh di sebelah kanannya itu sudah pun menyertai pasukannya dan memper- tahankannya. Kemudian ketua tentera itu mengarahkan saki baki anggota tenteranya yang masih ada ke sebelah kiri pihak musuh, sedangkan pada ketika itu tidak ada seorang pun tentera musuh yang berada di sana. Pada ketika itu, pihak tentera musuh dapat mengesan kelemahan yang ada lalu membuat serangan pada bahagian tengah yang sudah tidak mempunyai pertahanan lagi, lalu keseluruhan pasukannya mengalami kekalahan teruk.

Ya! Engkau wahai jiwaku, samalah seperti ketua tentera tersebut. Kesukaran dan kepenatan yang dihadapi sebelum ini telah berlalu. Maka kesakitannya juga turut berlalu. Yang tinggal hanyalah kelazatan dan kesulitannya telah bertukar menjadi pahala. Oleh itu, ia tidak lagi melahirkan kejemuan dan kebosanan, bahkan melahirkan kerinduan yang berpan- jangan, perasaan kelembutan dan usaha yang bersungguh- sungguh untuk terus maju ke hadapan. Manakala untuk hari- hari yang akan datang pula, oleh kerana ia belum lagi tiba, maka berfikir tentangnya sekarang adalah suatu tindakan yang bodoh, kerana ia samalah dengan tangisan dan jeritan yang dilakukan sekarang kerana rasa dahaga dan lapar yang mungkin akan berlaku pada masa akan datang!

Oleh kerana hakikatnya adalah yang sedemikian, jika engkau mempunyai sedikit akal, maka berfikirlah tentang ibadat untuk hari ini sahaja. Katakanlah: Aku akan memper- untukkan satu jam daripadanya untuk melaksanakan satu kewajipan penting, lazat dan indah, dan bagi menunaikan satu khidmat agung dan tinggi yang mempunyai ganjaran yang besar meskipun dengan kesulitan yang sedikit … Ketika itu, jiwa engkau yang telah merasa lemah dan sakit, tiba-tiba bertukar menjadi kuat dan manis serta cergas dan lazat.

Wahai jiwaku yang kosong daripada sifat sabar! Engkau ditugaskan untuk melakukan tiga jenis kesabaran:
Pertama: Sabar untuk melakukan ketaatan.
Kedua: Sabar daripada melakukan maksiat.
Ketiga: Sabar ketika menghadapi bala bencana.
Jika engkau pintar, ambillah hakikat yang jelas dan nyata ini daripada perumpamaan ketua tentera di atas. Ambillah pengajaran daripadanya. Berkatalah dengan penuh semangat dan kelakian: Wahai diri yang amat penyabar! Kemudian pikulkanlah ketiga-tiga jenis kesabaran tersebut di atas bahu engkau. Bersandarlah kepada kekuatan kesabaran yang tersimpan di dalam jiwa engkau dan bersifatlah dengannya dengan sebaik-baiknya. Sifat tersebut memadai bagi menghadapi segala jenis kesulitan dan musibah, selagimana engkau tidak menghambur-hamburkannya secara tersalah kepada perkara-perkara sampingan.




Peringatan Keempat

Wahai jiwaku yang tidak berakal! Adakah penunaian ibadat tersebut tidak mempunyai natijah dan faedah? Adakah ganjarannya terlalu kecil dan sedikit sehingga menyebabkan engkau merasa jemu, bosan dan bimbang? Bukankah kita akan tetap bekerja dan berusaha serta berpenat lelah tanpa jemu jika ada orang yang menjanjikan sama ada sesuatu yang baik atau yang buruk di sebalik pekerjaan yang dilakukan?
Sesungguhnya sembahyang adalah makanan bagi hati engkau yang lemah lagi fakir. Ia juga adalah ketenangan bagi hati di tempat persinggahan yang sementara ini, iaitu dunia. Ia juga adalah makanan dan cahaya bagi kediaman yang pasti engkau akan ke sana nanti, iaitu kubur. Ia juga adalah janji setia dan pelepasan ketika berada di mahkamah agung yang pasti engkau akan dibawa ke sana nanti. Sembahyang juga akan menjadi cahaya dan kenderaan buraq ketika engkau meniti di atas titian al-sirat al-mustaqim yang sudah pasti engkau akan melaluinya nanti... Jika demikianlah ganjaran yang akan diperolehi daripada sembahyang yang ditunaikan, maka adakah ia tidak mempunyai sebarang natijah dan faedah? Atau adakah ia mempunyai ganjaran yang sedikit?

Jika ada seseorang berjanji akan memberikan hadiah kepada engkau sebanyak 100 ringgit dengan syarat engkau hendaklah bekerja dengannya selama seratus hari, maka engkau akan berusaha keras untuk bekerja tanpa jemu dan bosan dengannya hanya bersandarkan janjinya. Sedangkan dia mungkin memungkiri janjinya itu. Bagaimana keadaan- nya jika engkau dijanjikan oleh seseorang yang sama sekali tidak pernah memungkiri janjinya? Memungkiri janji di sisinya adalah mustahil! Dia berjanji akan memberikan balasan pahala dan ganjaran yang besar, iaitu syurga, serta hadiah agung iaitu kebahagiaan yang kekal abadi, dengan syarat engkau hendaklah menunaikan satu kewajipan dan tugas yang kecil lagi merehatkan dalam tempoh waktu yang amat pendek sekali. Tidakkah engkau terfikir bahawa jika engkau langsung tidak menunaikan tugas dan khidmat yang kecil itu atau engkau menunaikannya tanpa perasaan suka kepadanya atau engkau hanya menunaikannya kadang- kadang, tidakkah engkau terfikir bahawa engkau sebenarnya telah memperkecil-kecilkan hadiahnya dan mempersoal serta tidak mempercayai janjinya? Dengan demikian, tidakkah engkau layak untuk diajar dan diseksa dengan seksaan yang pedih? Tidakkah perkara-perkara ini membangkitkan keazaman engkau untuk menunaikan tugas yang amat mudah dan ringan ini kerana takutkan penjara abadi iaitu neraka jahannam? Sedangkan engkau sanggup melakukan kerja- kerja yang sukar dan memenatkan tanpa jemu dan bosan kerana takutkan penjara dunia? Apalah sangat penjara dunia ini jika dibandingkan dengan penjara jahanam yang abadi itu?




Peringatan Kelima

Wahai jiwaku yang cintakan dunia! Adakah kelesuan engkau beribadat dan kecuaian engkau menunaikan sembahyang berpunca daripada kesibukan keduniaan engkau yang banyak? Atau adakah kerana engkau tidak mempunyai peluang kerana gelisah terhadap tuntutan hidup yang menekan?!

Alangkah ajaibnya! Adakah engkau diciptakan untuk kehidupan dunia ini semata-mata, sehingga engkau menghabiskan segala masa yang ada kerananya sahaja? Perhatikanlah! Dari sudut kekuatan, kekuatan engkau tidakpun menyamai kekuatan seekor burung yang paling kecil untuk memperoleh segala keperluan hidup, meskipun engkau adalah makhluk Allah yang paling mulia secara fitrahnya. Kenapakah engkau tidak memahami daripada keadaan ini bahawa tugas asal engkau, bukanlah untuk tenggelam di dalam kehidupan dunia dan bertungkus lumus kerananya semata-mata seperti binatang, tetapi tugas engkau ialah berusaha secara berterusan demi kehidupan abadi selayaknya engkau sebagai seorang manusia sebenar? Lebih daripada itu, kebanyakan perkara yang menjadi kesibukan keduniaan engkau hanyalah kesibukan yang langsung tidak mendatangkan faedah. Ia hanyalah perkara-perkara yang engkau campurtangan di dalamnya tanpa ada kepentingan. Engkau sebenarnya membuang masa engkau yang berharga pada sesuatu yang tidak bernilai, tidak ada keperluan dan tidak ada faedah … seperti berusaha untuk mengetahui bilangan ayam yang ada di Amerika! Atau untuk mengetahui jenis gelang yang mengelilingi planet Zuhal. Seolah-olah dengan mengetahuinya engkau mendapat sedikit ilmu tentang astronomi dan perangkaan!! Dengan sebab itu, engkau meninggalkan sesuatu yang diperlukan, sesuatu yang lebih penting dan lebih mesti, seolah-olah engkau akan dipanjangkan umur selama ribuan tahun lagi?

Jika engkau berkata: “Yang memaling dan melemahkan aku daripada sembahyang dan ibadat bukanlah perkara- perkara remeh temeh seperti yang disebutkan. Tetapi ia adalah perkara yang amat diperlukan demi kelangsungan kehidupan ini.” Jadi, dengarkanlah daripadaku perumpamaan berikut:

Upah harian yang diperoleh oleh seseorang ialah sebanyak seratus qurush. Kemudian dia dipanggil oleh seorang lelaki yang berkata: “Kemarilah! Gali lubang di sini selama sepuluh minit kemudian engkau akan menemui batu permata yang indah seperti zamrud yang nilainya ialah seratus ringgit” Alangkah gila dan alasan yang tidak menasabah jika dia menolaknya dengan berkata: “Tidak! Saya tidak akan lakukan, kerana upah harian saya akan berkurangan!”

Demikian jugalah keadaan engkau. Jika engkau meninggalkan sembahyang yang difardhukan, maka segala hasil daripada usaha dan amalan engkau dalam taman tersebut akan terbatas pada perbelanjaan keduniaan yang sedikit tanpa engkau mendapat faedah dan keberkatannya. Sedangkan jika engkau menggunakan waktu rehat engkau ketika waktu kerja untuk menunaikan sembahyang yang merupakan wasilah bagi kerehatan jiwa dan pernafasan hati, maka engkau dapat menambah perbelanjaan dan bekalan akhirat di samping perbelanjaan keduniaan engkau yang akan diberkati. Ini engkau akan peroleh melalui sumber yang agung iaitu melalui dua khazanah maknawi yang kekal, iaitu:
Khazanah Pertama:
Engkau akan mengambil*1bahagian engkau daripada tasbih yang diucapkan oleh setiap benda yang engkau lakukan dengan niat yang ikhlas yang terdiri daripada bunga-bungaan, buah-buahan dan tanam-tanaman di dalam kebun engkau.
Khazanah Kedua:
Setiap benda yang memakan hasil daripada kebun engkau, sama ada binatang atau manusia, sama ada manusia yang memakannya melalui jalan membeli atau mencuri, maka ia menjadi seperti sedekah jariah bagi engkau jika engkau menganggap diri engkau sebagai wakil dan pegawai yang ditugaskan untuk mengagihkan harta Allah s.w.t. kepada para makhlukNya. Iaitu engkau bertindak atas nama Allah, Tuhan Pemberi Rezeki yang sebenar dan berdasarkan keredhaanNya.
Sekarang perhatikanlah pula orang yang meninggalkan sembahyang. Bukankah besar kerugiannya? Bukankah dia kehilangan kekayaan yang amat banyak? Bukankah dia akan terus kehilangan dan muflis daripada memperoleh kekayaan daripada dua khazanah yang sentiasa membekalkan kekuatan maknawi kepada manusia dan mendorongnya untuk bekerja dan berusaha dengan aktif? Bukankah sehingga dia mencapai umur tua pun dia akan bosan dan jemu seraya berkata: “Kenapakah aku perlu memenatkan diriku? Untuk siapakah aku bekerja? Aku pasti akan meninggalkan dunia ini esok!” Dengan itu, dia mencampakkan dirinya ke dalam dakapan kemalasan.

Sedangkan lelaki pertama berkata: “Aku akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan kerja yang halal di samping ibadatku yang bertambah-tambah, agar aku dapat mengirimkan cahaya ke kuburku dan dapat membuat simpanan yang lebih banyak untuk akhiratku.”




Kesimpulan:

Ketahuilah wahai nafsu! Semalam sudah pun berlalu. Esok pula belum lagi tiba. Tiada jaminan bahawa engkau akan memilikinya. Oleh itu, perkirakanlah umurmu yang hakiki iaitu hari ini.
Paling kurang pun, gunakanlah satu jam daripadanya untuk diletakkan di dalam peti simpanan akhirat, iaitu masjid atau sejadah agar masa depan yang hakiki terjamin buatmu.

Ketahuilah juga bahawa setiap hari baru adalah pintu baru yang terbuka bagi alam yang baru bagi engkau dan bagi orang lain juga. Jika engkau tidak menunaikan sembahyang pada hari tersebut, maka alam hari itu akan berlalu menuju ke alam ghaib dalam keadaan gelap, mengadu dan berdukacita. Ia juga akan menjadi saksi bahawa engkau mengabaikannya.

Setiap orang daripada kita mempunyai alamnya yang tersendiri daripada alam tersebut. Jenis alam kita mengikut amalan dan hati kita sendiri. Perumpamaannya adalah sama seperti cermin. Gambaran yang kelihatan pada cermin adalah sama dengan warna dan jenis cermin itu. Jika cermin berwarna hitam, maka gambar yang kelihatan pada cermin juga hitam. Jika cermin berkilat, maka gambar yang kelihatan adalah jelas. Jika cermin tidak berkilat, maka gambar akan kelihatan hodoh, bahkan sesuatu yang kecil akan kelihatan besar dan tidak cantik … Begitu juga engkau wahai jiwa. Dengan hati, akal dan amalan, engkau dapat mengubah gambaran alam engkau. Dengan pilihan dan kehendak engkau, engkau boleh menjadikan alam ini menjadi saksi bahawa engkau mengambil berat atau mengabaikannya.

Demikianlah jika engkau menunaikan sembahyang dan dengan sembahyang tersebut engkau mengadap Tuhan yang tersebut akan bercahaya dan menuju kepada engkau dengan segera, seolah-olah dengan niat sembahyang itu engkau telah membuka suis cahaya lalu suis itu diterangi dengan lampu sembahyang engkau, dan menghilangkan kegelapan … Ketika itu, segala keadaan kucar kacir dan dukacita yang melingkari engkau di dunia akan bertukar menjadi sistem yang tersusun rapi, menjadi tulisan yang mempunyai makna tertentu yang ditulis dengan kalam Qudrat Rabbani, lalu terpancarlah salah satu cahaya daripada cahaya Allah.
 اَللهُ نُورُ السَّمَوَاتِ وَالاَرْضِ

Cahaya tersebut terpancar dan mengalir masuk ke dalam hati engkau lalu menyinari alam hari engkau tersebut dan memberikan penyaksiannya kepada Allah tentang cahaya engkau itu.

Wahai saudaraku! Awaslah daripada berkata:
“Alangkah jauhnya sembahyangku daripada mencapai tahap sembahyang tersebut?”
Kerana biji benih menanggung segala sifat-sifat pohon tamar yang sudah besar utuh itu di dalam bijiannya. Perbezaan hanya tersebut dari sudut penjelasan secara ringkas atau huraian. Begitu juga sembahyang yang dilakukan oleh orang awam, iaitu orang-orang seperti aku dan engkau. Dalam sembahyang itu terdapat sebahagian daripada cahaya tersebut dan terdapat satu rahsia daripada hakikat tersebut, sebagaimana yang terdapat di dalam sembahyang yang dilakukan oleh para wali Allah yang salih sekalipun perasaannya tidak merasakan demikian sedikitpun. Manakala Maha Mencipta alam tersebut lagi Maha Besar, maka alam kadar bercahayanya sembahyang tersebut, maka ia berlaku dengan kadar yang berbeza-beza, sebagaimana berbezanya peringkat yang berlaku kepada sesuatu biji benih sebelum ia bertukar menjadi sebuah pohon yang besar dan kukuh. Meskipun sembahyang mempunyai darjat atau martabat yang lebih banyak, namun ia tetap mempunyai asas daripada hakikat rabbani tersebut.

Ya Allah! Sampaikanlah selawat dan salam kepada orang yang berkata “Sembahyang adalah tiang agama”*2,  serta kepada keluarga dan seluruh sahabat baginda.


Teruskan:  MAQAM KEDUA





DIPNOT


  1. Maqam ini merupakan pengajaran bagi seorang pekerja di dalam taman.
  2. Terdapat pengarang mengatakan hadis yang diriwayatkan ini dengan sanad yang dhaif. Hadis ini juga disebutkan oleh al-Ghazali di dalam al-Ihya’ dan diriwayatkan oleh Abu Nu’aim daripada Bilal bin Yahya, katanya: “Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w. bertanyakan baginda tentang sembahyang. Lalu baginda menjawab: “Sembahyang adalah tiang agama.” Hadis ini mursal dan perawinya adalah thiqah. Namun, terdapat hadis yang lebih sahih diriwayatkan oleh Ahmad Bin Hanbal rahimahullah; Sabda baginda s.a.w., “Janji (perbezaan) di antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah meninggalkan sembahyang. Sesiapa yang meniggalkan sembahyang, bererti dia telah kafir.” Maka, seharusnya tidak menjadi satu permasalahan jika digunakan bagi menyeru umat Islam menunaikan sembahyang. Cuma perlu beringat jika mahu dijatuhkan sebagai satu hadis. Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang berdusta diatas namaku, maka menempah tempat duduknya di neraka.”