abcd

Yoppa

nuffnang

Risalah Ramadan - Nuktah Kedua

Dengan Nama Allah Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Hikmah 2:  Kesyukuran

Ibadat puasa mengandungi beberapa hikmah dan dengan sebab hikmah-hikmah itu, kita mengucapkan rasa syukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Salah satu nikmat tersebut ialah MAKANAN.

Bayangkan anda menghadiri satu jamuan makanan di dalam sebuah istana bersama sultan. Makanan yang dimakan adalah dihidangkan oleh khadam. Makanan yang dibawa oleh khadam dari dapur Sultan itu pasti ada harganya. Adalah terlalu dungu kalau kita menyangka bahawa makanan yang bernilai itu murah dan tidak berharga. Adalah terlalu bodoh kalau kita tidak mengenali orang yang memberikan nikmat tersebut, padahal khadam itu sendiri dianugerahkan dengan pelbagai hadiah kerana menyediakan hidangan itu kepada kita.


Makanan dan nikmat yang tidak terhitung banyaknya itu juga pasti ada harganya. Sudah pasti Allah S.W.T meminta bayarannya. Bayaran itu boleh dibayar dengan cara memanjatkan rasa kesyukuran kepada-Nya dan dengan cara mensyukuri nikmat tersebut. Sebab zahir yang membawa nikmat tersebut dan pemilik zahirnya hanyalah umpama khadam yang membawa sesuatu makanan. Kita membayar khadam itu dengan harga yang sepatutnya diperoleh oleh mereka. Kita terus menerus memuji dan memuliakan mereka, bahkan kita merendahkan diri dan berterima kasih kepada mereka lebih daripada yang sepatutnya, sedangkan pemberi nikmat yang hakiki ialah Allah S.W.T. Dialah yang sepatutnya berhak menerima pujian dan ucapan syukur itu, bahkan Dia berhak lebih daripada itu. Dengan yang demikian, kita dapat menyatakan rasa syukur dan keredaan kita kepada Allah dengan mengetahui punca sebenar nikmat tersebut. Dan dengan menghargai nilai dan kelazatan nikmat itu.

Oleh itu, puasa Ramadan merupakan kunci kesyukuran yang tulus lagi benar; kunci pujian yang agung dan menyeluruh buat Allah  S.W.T. Ini kerana kebanyakan manusia tidak menyedari nilai nikmat yang banyak itu kerana mereka tidak pernah merasai betapa perit dan azabnya rasa lapar yang sebenarnya. Hanya orang yang berada dalam kesempitan yang dapat merasainya. Mereka yang sentiasa kekenyangan tidak akan dapat menilai, misalnya nikmat yang tersembunyi dalam sepotong roti kering, lebih-lebih lagi sekiranya mereka kaya raya. Hanya orang mukmin yang dapat merasakannya apabila mereka berbuka puasa. Mereka dapat merasakan betapa berharga dan bernilainya nikmat Allah itu. Ini dapat dibuktikan melalui deria rasanya. Oleh itu, orang yang berpuasa --- bermula daripada sultan hinggalah kepada orang yang paling miskin --- pada bulan Ramadan akan mengucapkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah  S.W.T.

Ini kerana mereka sedar betapa besar dan bernilainya nikmat yang agung itu. Seseorang manusia yang menahan diri daripada menjamah makanan pada siang hari akan menyedari bahawa makanan itu adalah nikmat yang hakiki. Lantaran itu, dia akan berbisik kepada dirinya sendiri: “ Nikmat itu bukan milikku. Aku tidak bebas memakannya. Ia adalah milik orang lain. Ia adalah nikmat dan kurniaan-Nya, yang dikurniakan kepadaku. Jadi, sekarang aku sedang menunggu arahan-Nya “ Dengan ini, dia telah menyatakan rasa kesyukuran yang amat bermakna terhadap nikmat tersebut.

Dengan gambaran itu, puasa telah menjadi kunci kesyukuran dari pelbagai sudut; kesyukuran yang merupakan tugas hakiki setiap insan. Kerna berpuasa, kita dapat bersyukur diatas nikmat yang telah dikurniakan oleh sultan, Allah Maha Berkuasa.


Bediuzzaman Said Nursi