abcd

Yoppa

nuffnang

Lama'ah ke-19

NUKTAH KELIMA


Kerana kesempurnaan al-Karim, Allah al-Haq menjadikan seseorang yang miskin boleh mengecapi kenikmatan kurniaan seperti seorang yang kaya melalui kemuliaan-Nya yang sempurna, begitu juga seorang fakir dengan raja. Ya, kelazatan dan kenikmatan yang dirasai oleh orang miskin ketika ia memakan sepotong roti kering kerana kelaparan dan iqtisod;  adalah lebih daripada nikmat yang dirasakan oleh orang kaya atau raja; beraneka makanan mewah yang dimakan dalam kemuakan dan tanpa selera akibat berlebihan.

Ia adalah menghairankan tapi sesetengah orang mengenepikan, harus diberi perhatian bahawa orang yang hidup keborosan dan berlebihan menuduh mereka yang iqtisod dan bersederhana dengan tuduhan bakhil kedekut. Naudzubillah! Hidup iqtisod merupakan kehormatan dan kemurahan hati. Sebaliknya kezaliman dan sikat kedekut terdapat pada amalan 'mulia' yang dizahirkan dengan sifat berlebihan dan keborosan. Terjadi satu perkara dalam rumahku di Isparta yang menguatkan hakikat ini pada tahun risalah ini selesai ditulis. Ia adalah seperti berikut:

Seorang muridku begitu mahu aku menerima – bertentang dengan garisan prinsip hidupku. - berupa madu seberat dua setengah okka. Walaupun aku berulang kali menjelaskan kepentingan pegangan prinsipku itu, ia tetap tidak menerima penjelasanku tersebut. Akhirnya, aku terpaksa menerimanya dan menyuruh tiga orang saudara yang ada bersama mengambilnya. Aku memberitahu mereka bahawa dengan berjimat cermat, mereka akan dapat makan madu tersebut sepanjang 30 hingga 40 hari dalam Bulan Sya’ban dan Ramadan, tidak menjadikan mereka kekurangan manisan, dan si pemberi tadi akan mendapatkan ganjaran pahala. Begitulah aku memesan mereka untuk menerima hadiah tadi. Aku sendiri masih mempunyai sekitar satu okka madu.

Meskipun teman-temanku yang tiga orang itu istiqamah dan hidup berhemah; namun kerana sikap saling memberikan, bersikap menjaga perasaan orang, serta sikap itsar (mengutamakan orang lain); tentu sahaja ia adalah sifat terpuji; mereka terlupa akan pesanku tadi tentang berekonomi. Mereka habiskan madu-madu tersebut hanya dalam tiga malam sahaja. Sambil tersenyum, aku katakan pada mereka: “aku telah beri kalian peluang merasai madu tersebut selama antara 30 hingga 40 hari. Namun ternyata kalian telah menurunkannya kepada tiga malam saja. Semoga kalian nikmatnya!”

Bagi aku pula, aku nikmati madu yang kumiliki secara berhemah. Aku dapat memakannya sepanjang bulan Sya’ban dan Ramadhan; malahan, alhamdulillah kerana aku dapat memberikan sesudu madu kepada setiap satu mereka pada saat berbuka; menjadikannya satu ganjaran pahala yang besar”. Barangkali sesiapa yang menyaksikan keadaan itu menganggap apa yang kulakukan sebagai bersifat bakhil kedekut, sementara tindakan yang dilakukan oleh teman-teman selama tiga malam itu sebagai kemurahan. Namun, fakta hakikat yang terselindung di sebalik kezahiran sikap kedekut itu adalah kemuliaan yang tinggi, keberkatan yang luas dan ganjaran yang besar. Sebaliknya, ia akan membawa kepada keadaan yang lebih teruk berbanding sikap kedekut itu, hasil daripada kemurahan yang berlebihan itu; seperti sikap mengemis dan menunggu-nunggu berharapan mentamakkan pemberian orang lain. 

NUKTAH KEENAM


Terdapat perbezaan yang amat besar diantara sikap iqtisod dan kedekut. Sebagaimana sifat tawadu' (rendah hati) yang merupakan kualiti terpuji yang kelihatan hampir serupa tetapi berbeza dengan tiada keyakinan diri yang merupakan sifat tercela dan terhina, juga sebagaimana kewibawaan berbeza dengan ketakburan, maka demikian pula dengan sikap iqtisod. la merupakan perilaku nilai Nabi (SAW) yang mulia.  Sesungguhnya ia termasuk sumber turutan hikmah kebijaksanaan Ilahi yang menguasai alam. la tiada kaitan dengan sikap kedekut, yang merupakan gabungan kerendahan, kebakhilan, kekikiran dan ketamakan. Bahkan sama sekali tiada hubungan antara keduanya, walaupun pada zahirnya kelihatan hampir serupa. Berikut kami berikan sebuah contoh yang menguatkan hakikat tersebut:
Abdullah bin Umar (r.a.), yang merupakan salah seorang daripada Abdullah as-Sab’a, sahabat Nabi yang masyhur, dan anak Khalifah Umar ibn al-Khattab (r.a.), yang paling masyhur, serta salah seorang daripada semua sahabat yang tersohor dan berilmu; Pada satu hari ketika pergi membeli barangan di pasar, bagi mengekalkan iqtisod dan dan mengekalkan keyakinan dan kualiti proses perniagaan, beliau telah berdebat dengan tegas ke atas sesuatu yang hanya nilainya hanya beberapa kurush sahaja. Salah seorang sahabat telah terlihat dan merasa hairan kerana tidak dapat ia bayangkan seorang pewaris Nabi di muka bumi, anak Amirul Mukminin Khalifah Umar sanggup bertelingkah keatas harga sekecil itu. Lalu ia cuba mengekorinya bagi memahami tingkahlakunya. Tidak lama kemudian, setiba di rumahnya, beliau telah terperasan akan seorang fakir di hadapan rumahnya. Mereka telah berbual sebentar dan lelaki tersebut beredar. Kemudia beliau keluar daripada pintu kedua rumah itu dan juga terlihat lelaki fakir yang lain. Beliau berbual juga sebentar dengannya, dan lelaki tersebut beredar. Sahabat yang melihat dari jauh tertanya-tanya kehairanan. Lalu beliau pergi berjumpa lelaki-lelaki fakir tersebut dan bertanya, “Abdullah meluangkan masanya dengan kamu.  Bolehkah aku mengetahui apa yang telah dilakukan oleh Ibnu Umar kepada kamu (berdua)?”
“Ia telah memberi sepotong emas kepadaku”, jawapan kedua-duanya sama.
Mendengar hal tersebut, ia sangat terkejut sambil berkata, “Subhanallah... sungguh aneh. Di pasar beliau terlibat dalam perdebatan sengit hanya gara-gara wang senilai sekerat sahaja, tapi di rumahnya beliau menyedekahkan ratusan kali lipat kepada dua orang yang sangat memerluakan secara tulus ikhlas tanpa sesiapa mengetahui”. Kemudian ia beranjak menuju rumah Ibnu Umar r.a. untuk menanyakan hal itu kepadanya:
“Wahai Imam, tolong jelaskan kepadaku misteri ini. Di pasar engkau telah melakukan hal demikian, tetapi engkau melakukan perkara yang berbeza di rumah.”
Abdullah bin Umar menjawab, “Apa yang terjadi di pasar hanyalah hasil daripada sikap iqtisod dan bijak. Aku sengaja melakukan hal tersebut untuk menjaga sifat amanah dan kejujuran sebagai modal utama dalam jual-beli. Ia sama sekali bukan merupakan cerminan dari sifat kedekut dan bakhil. Sementara yang terjadi di rumah adalah berasal dari rasa kasihan, simpati, dan kemurahan jiwa. Jadi yang tadi bukan sikap kedekut dan yang ini bukan sikap berlebihan.

Hal tersebut sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Abu Hanifah (rh), لاَ اِسْرَافَ فِى الْخَيْرِ كَمَا لاَ خَيْرَ فِى اْلاِسْرَافِ - “Tidak ada kata berlebihan pada sebuah kebaikan dan tidak ada kebaikan pada sesuatu yang berlebihan”.1 Dengan kata lain, berbuat baik kepada orang yang berhak menerimanya tidaklah disebut berlebihan. Sementara berlebihan sama sekali bukan merupakan kebaikan.

NUKTAH KETUJUH


Sikap boros dan berlebihan menimbulkan ketamakan. Sementara ketamakan melahirkan tiga hal:

1. Ketidakpuasan 


Keadaan ini menyebabkan seseorang enggan beramal dan berusaha, membuatnya selalu mengeluh tanpa mau bersyukur, serta melemparkannya ke dalam jurang kemalasan. Sebagai akibatnya, ia tidak mahu menerima wang sedikit yang diperoleh dari usaha halal* 2. Tetapi, ia menoleh kepada wang haram yang diperoleh tanpa perlu usaha dan lelah. Serta demi itu, ia rela mengorbankan kemuliaan dan kehormatannya.


2. Bahana Ketamakan


Sebab, orang yang tamak tidak akan pernah mencapai maksudnya, selalu merasa sulit, tidak pernah ditolong dan dibantu; sehinggakan menyokong sebuah ungkapan kata yang terkenal, “Orang yang tamak selalu kecewa dan rugi”.3 Sifat tamak dan qana’ah tersebut memberikan dampak tertentu pada kehidupan makhluk sesuai dengan kaedah hukum yang berlaku. Contohnya:
Datangnya rezeki kepada tumbuhan disebabkan oleh sifat qana’ah alamiahnya, serta upaya keras dan ketamakan binatang untuk memperoleh rezekinya dengan bersusah payah, memperlihatkan kepada kita betapa bahayanya sifat tamak dan betapa untungnya sifat qana’ah.
Mengalirnya susu ke mulut para bayi yang masih kecil dan lemah secara tidak mereka sangka akibat sifat qana’ah yang terucap secara tidak langsung, serta serangan binatang buas dengan penuh ketamakan guna mencengkeram rezekinya, menguatkan apa yang telah kami kemukakan. 
Kemudian, gemuknya ikan yang dungu berkat sifat qana’ah kerana rezekinya yang datang sendiri kepadanya, serta lemahnya kemampuan berbagai binatang cerdik seperti musang dan kera dalam memperoleh makanan padahal mereka telah antusias dan berupaya keras, semua itu menegaskan akibat buruk dari sifat tamak berupa kepenatan dan kesulitan, serta nampak positif dari sifat qana’ah berupa kelapangan dan kemudahan. 
Selain itu yang mendukung hakikat di atas adalah cara bangsa Yahudi memperoleh rezeki mereka dengan jalan yang tidak dibenarkan dan hina akibat dari kerakusan, permainan riba, praktik manipulasi dan tipu muslihat mereka, serta bagaimana masyarakat Badwi merasa cukup dengan rezeki dan kehidupan mereka yang mulia.

Contoh lain dapat dilihat pada betapa banyaknya ulama 4 dan sasterawan5 yang jatuh ke dalam kehidupan vang sangat miskin dan hina kerana sifat rakus dan tamak mereka. Sementara orang-orang yang bodoh dan lemah kerena mempunyai watak qana’ah, mereka hidup dalam keadaan berkecukupan. Hal itu menegaskan bahwa rezeki halal datang sesuai dengan kelemahan dan kebutuhan kita, bukan dengan usaha dan ikhtiar. Bahkan ia berbanding terbalik dengan upaya dan ikhtiar tersebut. Sebab, rezeki seorang anak sedikit demi sedikit berkurang, menjauh, dan bertambah sulit untuk diperoleh seiring dengan pertumbuhan ikhtiar, kehendak, dan kemampuan usahanya.

Sesuai dengan rahsia hadis Nabi SAW: اَلْقَنَاعَةُ كَنْزٌ لاَ يَفْنىَ6; Ya, sifat qana’ah merupakan modal untuk mencapai kehidupan yang lapang dan nyaman serta penyebab ketenteraman. Manakala sifat tamak merupakan lombong kerugian dan kehinaan.


3. Ketamakan merosakkan keikhlasan dan mengotorkan amalan ukhrawi


Sebab, jika pada diri seorang mukmin yang bertakwa terdapat ketamakan pastilah ia sangat berkeinginan untuk dihargai orang. Sementara siapa yang mengharap dan menunggu penghargaan orang, ia tidak mencapai tingkatan ikhlas yang sempurna. Akibat yang sangat penting ini hendaknya diperhatikan dan dicamkan.

Kesimpulannya, sikap berlebihan melahirkan perasaan tidak pernah cukup. Hal itu akan membuat seseorang enggan bekerja dan menjadikannya malas, serta membuatnya selalu mengeluh dan menderita dalam hidup. Sebagai akibatnya ia senantiasa merintih di bawah derita keluhan.7 Selain itu, sifat tamak akan merosakkan keikhlasan seseorang dan akan membuka peluang bagi sifat riyak dan kepura-puraan yang pada tahap selanjutnya akan menghancurkan kemuliaannya dan menjerumuskannya pada sikap meminta-minta. Sebaliknya, hidup hemat membuahkan sifat qana’ah. Dan qana’ah itu sendiri melahirkan kemuliaan sebagaimana bunyi hadis Nabi S.A.W.: عَزّ مَنْ قَنَعَ ذَلَّ مَنْ طَمَعَ8, ia dapat meningkatkan keyakinan diri. Selain itu, ia menumbuhkan rasa senang bekerja dan berusaha serta menambah semangat kerja. Sebagai contohnya: Seseorang bekerja selama satu hari. Berikut prinsip qana’ah yang ia miliki keatas pendapatan kecil yang diperoleh di waktu petang, ia bekerja lagi pada keesokannya. Sementara bagi orang yang hidup boros dan berlebihan pula, ia tidak akan bekerja pada keesokan harinya. Jikalaupun ia bekerja, ia tidak melakukannya dengan semangat dan keredhaan.

Demikianlah, sifat qana’ah yang muncul dari hidup berhemah akan membukakan pintu syukur sekaligus menutup pintu keluhan. Manusia yang selalu qana’ah akan selalu bersyukur dan mengucapkan pujian sepanjang hidupnya. Dengannya, ia takkan meminta penghargaan manusia kerana tidak merasakan keperluan mereka. Lalu pintu keikhlasan dibuka, dan pintu kepada keriakan dan hipokrisi ditutupi.

Aku telah menyaksikan berbagai kebahayaan dari kerugian yang menakutkan akibat hidup yang berlebihan dan tiada cermat dalam skala yang meluas. Ia adalah seperti berikut:

Pada sembilan tahun yang lalu, aku telah tiba di sebuah kota yang penuh dengan berkat. Waktu itu adalah ketika musim salji yang amat dingin, sehinggakan aku tidak dapat melihat sumber kekayaannya dan hasil buminya. Mufti kota itu, semoga Allah merahmatinya, telah berkata kepadaku, “Penduduk kami adalah miskin”. Beliau telah berkali-kali mengulangi kata-kata tersebut. Aku menjadi tersentuh dan amat tertarik untuk memahami. Lalu akupun merasakan kasihan berterusan pada penduduk kota tersebut selama lima atau enam tahun berikutnya. Lapan tahun kemudian aku kembali ke sana, ketika musim panas. Aku lihat segala kebun-kebun yang ada di kota tersebut, lalu teringat dengan ucapan almarhum mufti tersebut.

Kuucapkan: “Subhanallah!, hasil keluaran kebun-kebun ini adalah amat melebihi keperluan seluruh penduduk kota. Mereka sangat berpeluang menjadi orang-orang kaya.” Aku merasakan kekaguman. Kemudian akupun bertukar diam hairan. Kemudian mengingati suatu hakikat yang tidak pernah menipuku dan mulai menjadi panduan bagiku memahami hakikat lain yang tidak dapat ditipu oleh penyataan lahiriah. Aku memahami bahawasanya keberkatan telah ditarik dari kota ini akibat cara hidup yang keborosan dan berlebihan serta enggan hidup berjimat cermat dan bersederhana. Dengan itu, tepatlah kata-kata almarhum mufti tadi, “Penduduk kami hidup kemiskinan menderita”, meskipun sumber kekayaan alam yang mereka miliki adalah sangat banyak.

Ya, sebagaimana membayar zakat dan hidup berjimat cermat telah dibuktikan melalui pengalaman sebagai punca kedatangan keberkatan dan penambahan nikmat.9 Sebegitu juga sebaliknya, terhadap hidup kelampauan dan keengganan membayar zakat merupakan faktor penyebab keberkatan ditarik. Ibnu Sina, Plato kaum muslimin, rujukan para doktor, dan guru ilmuwan falsafah menafsirkan ayat, كُلُوا وَاشْرَبوُا وَلاَ تُسْرِفُوا dari sudut pandang kedoktoran, melalui bait-bait kata di bawah ini:
وَحُسْنُ الْقَوْلِ فِى قَصْرِ الْكَلاَمِ، فَقَلِّلْ اِنْ اَكَلْتَ وَبَعْدَ اَكْلٍ تَجَنَّبْ ، وَالشِّفَاۤءُ فِى اْلاِنْهِضَامِ وَلَيْسَ عَلَى النُّفُوسِ اَشَدُّ حَالاً ، مِنْ اِدْخَالِ الطَّعَامِ عَلَى الطَّعَامِ

Maksudnya: “Aku tumpukan sains perubatan dalam dua bait, dan kata-kata yang paling sesuai adalah “yang paling singkat”; apabila kamu makan, sedikitkan pemakananmu, dan jangan makan lagi dalam masa empat atau lima jam. Sebab kesihatan terletak pada penghadaman. Yakni, makan hanyalah sekadar mana perutmu dapat menghadam dengan mudah. Keadaan yang paling membebani perut dan dirimu adalah jika diisi makanan terus-menerus..”10

Tanda TAWAFUQ11 dan kesesuaian yang aneh, yang mengundang kehairanan dan harus diambil sebagai pelajaran:
Meskipun penyalinan dalam penulisan Risalah al-Iqtisod dilakukan oleh lima atau enam orang yang berbeza — yang mana tiga di antaranya masih kurang berpengalaman, menyalinnya daripada salinan yang berbeza, maka kualiti tulisan meraka berbeza — Namun, anehnya pada setiap salinan naskah yang tidak disertai doa terdapat 51 huruf alif, sementara pada setiap salinan naskah yang disertai doa mempunyai 53 huruf Alif. Padahal tempat tinggal mereka yang melakukan penyalinan itu sudah ternyata berbeza-beza, malahan jauh daripada lokasi masing-masing. Selain itu, mereka semestinya sama sekali tidak pernah terfikir tentang huruf ‘Alif’ tersebut.

Jumlah ‘Alif’ tersebut terdapat satu tawafuq dengan waktu penulisan dan penyalinan Risalah al-Iqtisod. Iaitu jatuh pada tahun [19]51 jika menggunakan perkiraan Rom, sementara menurut perkiraan Hijrah jatuh pada tahun [13]53. Sudah tentu saja hal itu bukanlah sekadar suatu kebetulan. Tetapi ia menjadi isyarat bahawa keberkatan yang terdapat dalam hidup bercermat naik sampai ke jenjang karamah. Kerana itu, adalah sangat sesuai jikalau tahun ini digelar sebagai Tahun Iqtisod.

Ya, kemuliaan hidup dengan cermat ini telah dibuktikan dua tahun kemudian. Secara tepatnya ketika aku menyaksikan keadaan umat manusia setelah Perang Dunia Kedua; perang yang telah menghasilkan kelaparan, kerosakan, dan pelbagai bentuk keborosan di seluruh dunia. Keadaan tersebut tentu saja mengharuskan mereka untuk berjimat-cermat dan hidup bersederhana.

سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا، إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيم





Dipnot


  1. Lihat: al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, no. 1, 262; Qurtubi, al-Jami‘ li-Ahkam al-Qur’an, no. 7, 110

  2. Kerana tidak mahu berhemah, banyak orang yang berbelanja, tapi sedikit yang mahu produktif, serta semua orang mulai menumpukan perhatiannya kepada pemerintah. Ketika itulah industri, perniagaan, dan pertanian sebagai landasan kehidupan sosial menjadi lumpuh. Akhirnya masyarakat menjadi miskin dan menderita. 

  3. Lihat: Ibn Qays, Qura al-Dayf, no.4, 301; al-Maydani, Majma‘ al-Amthal, no.1, 214

  4. Ada orang yang bertanya kepada Buzurh-Mihr yang merupakan pemikir terkenal sekaligus menteri dari Nusyirewan Adil yang merupakan seorang penguasa dan ulama Iran yang terkenal kerana kebijaksanaannya, “Mengapa para ulama itu mengunjungi penguasa, bukan penguasa yang mengunjungi ulama, padahal kedudukan ilmu lebih utama daripada kekuasaan.”
    Beliau menjawab: “Kerana pengetahuan cendekiawan dan kejahilan pemimpin.” Dengan kata lain, para penguasa tidak mengetahui kepentingan ilmu kerana kejahilan mereka sehingga laluan kepada ilmuwan tidak dibuka. Sementara orang yang berpengetahuan tahu nilai harta dan hak milik para penguasa dan berusaha mendekati mereka, dan meminta upahnya daripada para penguasa. Jawapannya dilakukan dengan sinis cerdas terhadap ketamakan sesetengah ulama, akibat pengetahuan yang akhirnya mengarahkan mereka kepada kemiskinan, kehinaan dan keadaan amat memerlukan, Buzurh-Mihr menerangkannya dengan jelas. (Husrev)

  5. Ada sebuah kejadian yang menguatkan hakikat ini, yaitu bahwa para sasterawan di Perancis diberi piagam pengemis karena mahirnya mereka dalam pengemisan itu (Sulaiman Rusydi). 

  6. Hadis yang berbunyi, “Qana‘ah merupakan harta yang tak pernah habis dan kekayaan yang tak pernah musnah” diriwayatkan oleh at-Tabrani dalam al-Mu‘jam al-Awsat, vii, 84, juga oleh al-Askari dari Jabir. Sementara yang banyak dikenal orang berbunyi, “Qana‘ah merupakan kekayaan yang tak pernah musnah”. Banyak sekali riwayat hadis berkenaan qana‘ah. Lihat juga pada al-Baihaqi, al-Zuhd, 2:88; dan al-‘Ajluni Kasyf al-Khafa’ (2: 133).

  7. Ya, jika engkau menjumpai seorang yang berlebihan dan boros, engkau pasti akan mendengar banyak keluhan darinya. Meskipun kaya, pasti lisannya selalu mengeluh dan mengadu. Sementara jika engkau menjumpai orang miskin yang qana‘ah, engkau tidak akan mendengar keluhannya. Yang ada, hanyalah pujian dan rasa syukur kepada Allah Taala.

  8. “Sungguh mulia orang yang qana’ah dan sungguh hina orang yang tamak” (Lihat Ibn al-Athir, al-Nihaya fi Ghara’ib al-Hadith, 4, 114; Dan al-Zabidi, Taj al-‘Arus, 22, 90)

  9. Lihat: at-Thabrani, al-Mu‘jam al-Kabir, x, 128: Idem., al-Mu‘jam al-Ausat, ii, 161, 274; al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, iii, 382; iv

  10. Ertinya, adalah tidak menyihatkan tubuh badan jika tidak diberi makanan diantara 4-5 jam secara tepat; jika berterusan diisi dengan makanan tanpa henti. Atau mengisi perut hanya menurut nafsu, demi kelazatan semata-mata.

  11. Tawafuq: ‘Kebetulan’, kalimah-kalimah yang bertindih pada mukasurat berbeza atau sebaris dalam satu mukasurat. Ustad Said Nursi telah mendapati bahawa terdapat banyak kalimah-kalimah yang sama dalam Quran yang berada pada kedudukan yang sama dalam Quran, atau selari dalam satu barisan (atas-bawah).