abcd

Yoppa

nuffnang

Kalimah Ke-2 - Pandangan Kafir dan Mukmin Pada Dunia


 ٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِٱلْغَيْبِ

Jika anda ingin mengetahui betapa kebahagiaan, kenikmatan kelazatan dan kerehatan yang terdapat di dalam keimanan, maka dengarlah cerita yang pendek ini:


Pada suatu hari, dua orang hamba Allah keluar berjalan untuk mengembara sambil berniaga. Salah seorang daripada mereka tersangat ego dan celaka berjalan menuju ke suatu arah. Manakala yang seorang lagi taat dan bahagia di jalan Allah sedang menuju ke suatu arah yang lain.


Bagi lelaki pertama (ego), yang berpendirian pesimistik menemui sebuah negeri yang amat buruk dan teruk pada pandangannya, selaras dengan pendiriannya yang buruk itu. Dia hanya nampak orang-orang lemah dan miskin yang menjerit dan melolong akibat dipukul oleh beberapa orang lelaki yang jahat dan keras, disebabkan perbuatan mereka yang memusnahkan di mana-mana sahaja jalan yang dilaluinya. Dia melihat suasana yang menyedihkan ini sehingga dia merasakan seluruh negeri ibarat sebuah pusat perkabungan yang gergasi. Dia berpendapat segala kesakitan dan kesedihan yang dihadapinya itu hanya boleh dihapuskan dengan cara menghilangkan ingatan. Lalu dia memilih untuk mabuk supaya dia tidak lagi dapat merasakan dirinya sendiri. Ia mahu begitu kerana dia berpandangan bahawa semua penduduk di dalam negeri tersebut telah menjadi musuh yang sentiasa mengintai- ngintai peluang untuk memusnahkannya dan orang asing yang sentiasa berpura-pura di hadapannya. Dengan itu, rohaninya merasa azab menyakitkan kerana melihat mayat-mayat menggerunkan dan anak-anak yatim yang menangis dengan tangisan yang menyayat hati sekelilingnya.

Manakala bagi lelaki kedua pula adalah seorang hamba Allah yang soleh dan sentiasa mencari kebenaran. Dia juga memiliki akhlak yang baik. Dalam perjalanannya itu, dia menemui sebuah kerajaan yang baik yang pada pandangannya adalah sebuah negeri yang amat indah dan menawan.

Lelaki yang baik ini melihat dalam negeri tersebut pelbagai perayaan dan pesta yang indah sering diadakan. Kegembiraan dan keceriaan mengisi setiap inci dan sudut bumi negeri tersebut. Terdapat  juga mihrab untuk berzikir di setiap tempat. Setiap penduduk negeri ini menjadi teman yang amat rapat dan amat dikasihinya. Kemudian dia juga melihat seluruh negeri tersebut mengisytiharkan pengumuman pengecualian daripada tugas yang mendapat sambutan laungan kegembiraan yang disertai dengan kata-kata kesyukuran dan pujian. Dia juga mendengar daripada kalangan mereka nyanyian lagu-lagu semangat dan patriotik yang dimainkan oleh orkestra, disertai dengan laungan takbir dan tahlil yang penuh bersemangat kerana perasaan gembira dan bangga terhadap mereka yang dimasukkan ke dalam khidmat ketenteraan.

Dilihatkan semula, lelaki pertama yang pesimistik itu sibuk dengan kesakitan dan penderitaan manusia disekelilingnya, manakala lelaki kedua yang bahagia dan berfikiran cerah itu pula berada dalam keadaan gembira dan bahagia bersama-sama dengan keriangan dan kebahagiaan orang lain. Di samping itu, dia juga mendapat keuntungan yang diberkati daripada perniagaan yang dijalankan, lalu dia bersyukur kepada Tuhannya. Apabila lelaki kedua itu pulang semula ke negeri asalnya dan bertemu ahli keluarganya, di sana dia bertemu dengan lelaki pertama. Lelaki kedua bertanya tentang khabarnya, lalu lelaki pertama menceritakan segalanya. Mendengarkan ceritanya, lelaki kedua berkata:
“Alangkah gilanya engkau! Sesungguhnya kejahatan yang ada di dalam batinmu telah terkeluar menjadi zahirmu, sehingga kamu menyangka setiap senyuman merupakan jeritan dan air mata serta setiap perlepasan dan percutian sebagai perampasan dan perompakan. Kembalilah kepada kewarasan dan sucikanlah hatimu... Semoga selaput keras yang menutupi tercabut daripada kedua kelopak mata engkau… dan semoga engkau dapat melihat hakikat berdasarkan wajahnya yang sebenar. Sesungguhnya pemilik kerajaan ini berada pada tingkat keadilan, kerahmatan, ketuhanan, kekuasaan, penyusunan dan kelembutan yang tertinggi… Sesungguhnya kerajaan yang berada pada tingkat kemajuan dan ketinggian tersebut yang kesan-kesannya dapat kamu lihat dengan nyata, sudah pasti tidak mungkin sama dengan gambaran yang digambarkan oleh sangkaanmu itu.”
Setelah mendengarkan kata-kata kawannya itu, lelaki yang malang itu mula berfikir dan kembali kepada kebenaran sedikit demi sedikit. Dia berfikir menggunakan akalnya dan berkata dengan penuh penyesalan:
“Ya. Memang aku gila kerana terlalu banyak melakukan perkara bodoh dan sia-sia … Semoga Allah meredaimu. Kamu telah menyelamatkanku daripada neraka kecelakaan.”

Wahai diri! 


Ketahuilah bahawa lelaki pertama itu adalah orang kafir atau fasik yang alpa. Dunia ini pada pandangannya hanyalah sebuah rumah besar untuk meratap dan merintih. Semua hidupan di atasnya adalah anak yatim yang menangis kerana terkena pukulan dan tamparan kehilangan insan tersayang.

Manusia dan binatang hanyalah makhluk terbiar tanpa penjaga dan pemilik serta akan menghadapi kemusnahan sebaik sahaja ajal tiba.

Benda-benda wujud yang besar seperti gunung dan lautan pula adalah sama seperti mayat yang sudah reput dan keranda yang menakutkan.

Sangkaan dahsyat dan menyakitkan seumpama ini yang lahir daripada kekufuran dan kesesatan manusia akan menyebabkan dia berada dalam keadaan azab kejiwaan yang amat pahit.

Manakala lelaki kedua pula adalah seorang mukmin yang mengenali dan benar-benar beriman dengan tuhannya. Dunia pada pandangannya adalah sebuah tempat zikir kepada Allah s.w.t. Ia juga adalah tempat belajar dan medan mendapat ujian dan dugaan bagi manusia dan binatang. Dunia juga adalah medan ujian dan dugaan bagi manusia dan jin. Segala kematian yang berlaku sama ada kepada manusia dan binatang merupakan perlepasan daripada jawatan dan penamatan perkhidmatan. Mereka yang telah menamatkan tugas-tugas kehidupan meninggalkan dunia yang fana’ ini dalam keadaan gembira secara maknawi, kerana mereka sebenarnya berpindah ke sebuah alam yang tidak mempunyai kebimbangan, bebas daripada kekotoran kebendaan dan segala jenis penyakit yang berlaku setiap masa dan di setiap tempat. Alam ini juga bebas dari sebarang ketakutan terhadap segala bentuk kesusahan dan kesulitan. Perpindahan mereka adalah bertujuan untuk memberi ruang seluas-luasnya kepada petugas-petugas baru yang datang melaksanakan tugas mereka.

Manakala segala kelahiran yang berlaku sama ada di kalangan manusia dan binatang merupakan proses kaderisasi ketenteraan, penerimaan senjata serta tanggungjawab. Setiap makhluk merupakan pegawai dan tentera yang gembira, menurut perintah, jujur, redha dan berpuas hati.

Suara-suara yang kedengaran dan bergema yang terpantul di seluruh dunia pula merupakan zikir dan tasbih yang diucapkan ketika menerima tugas dan permulaan melaksanakannya. Atau ia adalah lafaz kesyukuran dan tahlil yang diucapkan sesudah sesuatu tugas selesai dilaksanakan. Atau ia adalah melodi yang lahir hasil daripada kecintaan dan kegembiraan terhadap tugas yang dilaksanakan.

Segala makhluk yang wujud pada pandangan si mukmin ini adalah khadam (orang suruhan) yang menggembirakan, para pegawai yang menjadi rakan karib dan bahan bacaan yang menyeronokkan bagi tuannya yang Maha Mulia lagi Maha Mengasihani. Demikianlah bagaimana keimanan yang dimilikinya menampilkan pelbagai hakikat seumpama yang telah disebutkan. Ia juga amat seni, tinggi, lazat dan mendalam.

Oleh itu, iman memang mengandungi satu biji benih maknawi yang terbelah daripada ‘Pohon Tuba’ yang kedapatan di syurga. Manakala kekufuran pula menyembunyikan bijian maknawi yang telah diludah oleh ‘Pohon Zaqqum’ di neraka jahannam.

Oleh itu, keselamatan dan keamanan hanya terdapat di dalam Islam dan iman. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mengulangi:
الحمد لله دين الاسلام وكلمة الإيمان 

.