abcd

Yoppa

nuffnang

Kalimah Kelima

[Kami akan menerangkan di dalam al-Kalimah ini tentang tugas sebenar manusia]


1 اِنَّ الله مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ

Jika anda ingin memahami bagaimana sembahyang dan menjauhi dosa besar itu 2 adalah tugas hakiki yang layak dilaksanakan oleh manusia di samping ia merupakan natijah fitrah yang sesuai dengan penciptaannya. Maka perhatikan dan dengarkanlah kisah yang ringkas ini:

Terdapat dua orang askar dalam satu pasukan tentera ketika Perang Dunia Pertama dahulu. Salah seorang daripada mereka terlatih dalam tugasnya dan amat rajin menjalankan kewajipan. Manakala askar kedua pula adalah seorang yang jahil tentang tugasnya dan hanya mengikut hawa nafsu. Askar yang pertama sentiasa memberikan perhatian terhadap seluruh latihan dan hal ehwal peperangan. Dia tidak langsung memikirkan tentang keperluan hidup dan pendapatannya, kerana dia yakin sepenuhnya bahawa urusan hal ehwal kehidupannya dan penyediaan persenjataan, bahkan perubatannya jika dia ditimpa sakit, hinggakan menyuap makanan (jika diperlukan) ke mulutnya, semuanya adalah tanggungjawab negara terhadapnya. Manakala kewajipannya yang asasi hanyalah berlatih tentang taktik-taktik peperangan, sekadar itu sahaja.

Dalam masa yang sama, dia tahu bahawa mungkin kadang-kadang dia mesti melakukan beberapa persiapan tertentu dan urusan kehidupan seperti memasak dan membasuh peralatan yang digunakan. Meskipun dalam keadaan tersebut, jika ditanya:  Apakah yang sedang anda lakukan?, maka dia akan menjawab: “Saya sedang menjalankan tanggungjawab saya terhadap negara secara sukarela.” Dia tidak menjawab dengan berkata: “Saya hanya mencari makan.”

Manakala askar kedua yang jahil tentang kewajipannya, dia sedikitpun tidak mengendahkan latihan yang dijalani dan peperangan yang sedang dihadapi. Dia berkata: “Itu semua adalah kewajipan negara. Tidak ada hubungan dengan saya!” Lalu dia hanya menyibukkan dirinya dengan usaha kehidupan dan penambahbaikannya. Kadang-kadang dia bertindak meninggalkan pasukannya kerana menjalankan perniagaan di pasar.
Pada suatu hari, kawannya yang rajin itu berkata:  
“Wahai saudaraku! Tugasmu yang asal ialah berlatih dan bersiapsedia untuk menghadapi peperangan. Kamu didatangkan ke sini hanya untuk menjalankan tugas tersebut. Berharaplah kepada raja dan bertenanglah kerana segala urusan kehidupanmu di bawah tanggungannya. Dia sama sekali tidak akan meninggalkanmu dalam kelaparan, kerana itu adalah kewajipan dan tugasnya. Tambahan pula kamu adalah seorang yang lemah dan fakir. Kamu tidak akan mampu untuk menguruskan urusan kehidupanmu sendiri. Lebih dari itu, kita sekarang sedang berada dalam suasana jihad dan di medan perang dunia yang besar. Saya bimbang mereka akan menganggap kamu sebagai seorang yang melanggar perintah lalu mereka mengenakan hukuman yang berat terhadapmu.” 
Ya, hanya terdapat dua tugas di hadapan kita:


Pertama: Tugas pemerintah, iaitu menjaga segala keperluan kehidupan kita. Mungkin kita tidak dibayar untuk melaksanakan tugas tersebut.

Kedua: Tugas kita sendiri, iaitu berlatih dan bersedia menghadapi peperangan. Pemerintah pula memberikan kita segala bantuan dan kemudahan yangdiperlukan.
Wahai saudaraku! Perhatikanlah, sekiranya askar yang cuai itu tidak memberikan perhatian terhadap nasihat rakannya yang rajin dan terlatih itu, betapa dia akan mengalami kerugian dan terdedah kepada bahaya dan kebinasaan! 
Wahai jiwaku yang malas! 

Sesungguhnya medan yang sedang bergejolak dengan bahang peperangan itu sebenarnya adalah gambaran kepada bumi yang sedang bergolak ini. Manakala angkatan tentera yang terbahagi kepada beberapa pasukan itu pula adalah lapisan generasi manusia. Manakala pasukan tentera itu sendiri adalah masyarakat Islam semasa. Dua orang askar itu pula, salah seorang daripada mereka adalah seorang yang mengenal Allah dan mengerjakan segala kewajipan serta menjauhi dosa-dosa besar. Dia adalah seorang muslim bertaqwa yang berjuang memperbaiki dirinya dan berjuang menentang syaitan kerana takut terjatuh ke lembah maksiat dan dosa.

Askar yang kedua pula adalah seorang yang fasik dan rugi kerana sibuk memenuhi keperluan hidup, sehingga dia tidak percaya kepada pemberi rezeki yang hakiki. Dia tidak peduli meskipun dia terpaksa meninggalkan perkara fardhu dan terdedah kepada kemaksiatan demi mendapatkan sesuap nasi. Segala latihan dan taklimat yang diberikan itu adalah gambaran kepada ibadat yang ditunjangi oleh sembahyang. Peperangan itu pula adalah gambaran perjuangan manusia menentang diri dan nafsunya, serta perjuangannya untuk menjauhkan diri daripada segala kemaksiatan dan akhlak yang hina. Ia juga adalah gambaran perjuangannya menentang syaitan yang berupa jin dan manusia, demi menyelamatkan hati dan rohnya daripada kemusnahan abadi dan kerugian yang nyata.


Manakala kedua-dua tugas yang dinyatakan dalam kisah ini, yang pertama itu ialah anugerah kehidupan dan segala kemudahannya. Manakala yang kedua pula adalah ibadat, tawakkal, meminta dari Pemberi anugerah tersebut serta mencari ketenangan daripadaNya.

Benar! Sesungguhnya Dia yang menciptakan kehidupan ini dalam bentuk yang mantap dan penuh kegemilangan, Dia jugalah yang menjadikannya sebagai satu hikmah ketuhanan yang amat menakjubkan. Dialah yang menjaga kehidupan itu dan menguruskannya dengan kurnia rezeki yang melimpah ruah.

Adakah anda mahukan bukti terhadap perkara tersebut?

Haiwan yang paling lemah sekalipun tetap diberikan rezeki, bahkan rezeki yang paling baik (seperti ikan dan ulat di dalam buah-buahan). Makhluk manusia yang paling lemah sekalipun juga tetap dapat memakan rezeki yang paling baik dan enak (seperti bayi dan kanak-kanak).

Jika anda melakukan perbandingan antara ikan yang bodoh dengan musang, atau antara kanak-kanak kecil yang tidak mempunyai sebarang kekuatan dengan binatang buas yang menerkam, atau antara pokok-pokok besar yang berceracak dengan haiwan yang melata, maka anda akan memahami bahawa sarana untuk memperoleh rezeki yang halal bukanlah melalui kekuatan dan ikhtiar, bahkan sarana yang sebenar ialah sifat lemah dan daif.

Oleh itu, orang yang meninggalkan sembahyang demi kehidupan, adalah sama seperti seorang askar yang meninggalkan latihan dan kemnya untuk mengemis dan bergelandangan di pasar. Manakala orang yang mendirikan sembahyang tanpa melupakan keperluan hidupnya di dunia supaya tidak mengharap pemberian orang, maka ia adalah suatu sikap yang baik, ia melambangkan kemuliaan dan jatidiri, di samping ia juga merupakan sebahagian ibadat.

Sesungguhnya fitrah manusia dan apa yang Allah kurniakan kepadanya daripada segala kelengkapan maknawi menunjukkan bahawa ia diciptakan untuk beribadat kepada Allah. Ini kerana segala kekuatan yang dikurniakan kepadanya dan segala hasil tugasnya di dunia tidak meletakkannya setaraf dengan martabat sekecil-kecil burung (yang mana burung pun menikmati kehidupan yang jauh lebih baik daripadanya). Sedangkan manusia boleh menjadi sultan kepada seluruh alam ini dan menjadi penghulu kepada seluruh makhluk di dalam kehidupan maknawi dan ukhrawi jika dia menggunakan ilmu yang diberikan oleh Allah kepadanya, serta mempunyai sikap berharap kepada Allah di samping melaksanakan ibadat kepadaNya.

Wahai diriku!
Jika kamu menjadikan kehidupan di dunia ini sebagai matlamat utama dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya, maka kamu adalah setaraf dengan seekor burung yang paling kecil. 
Manakala jika kamu menjadikan kehidupan akhirat sebagai matlamat tertinggi dan menjadikan kehidupan dunia hanya sebagai wasilah dan ladang tempat bercucuk tanam dengan penuh tekun... maka kamu akan menjadi penghulu kepada segala hidupan yang ada dan hamba yang mulia di sisi Pencipta Yang Maha Mulia. Kamu juga akan menjadi tetamu yang diraikan lagi dimuliakan di dunia ini.
Di hadapan anda terdapat dua jalan. Pilihlah yang mana anda suka. Dan pohonlah hidayah dan taufik daripada Tuhan ar-Rahmanur Rahim.



Dipnot:
  1. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Surah Al-Nahl 128)
  2. Lihat Surah an-Nisa, 4:31; Surah asy-Syuura, 42:37; Surah an-Najm, 53:32.