abcd

Yoppa

nuffnang

Lama'ah Ke-19

RISALAH AL-IQTISOD 

(Ekonomi/Berjimat cermat)




كُلُوا وَاشْرَبوُا وَلاَ تُسْرِفُوا
"Makanlah dan minumlah serta jangan pula kamu berlebihan" (Al-A'raf [7]:31)

Ayat suci diatas secara muktamad memerintahkan sikap berhemah dan jimat cermat, dan sekaligus melarang hidup berlebihan dan pemborosan dalam bentuk larangan yang tegas; membicarakan sebuah pengajaran hikmah yang sangat penting. Terdapat tujuh nuktah catatan dalam bahagian masalah ini.


NUKTAH PERTAMA
Iqtisod pula adalah wujud penghormatan ke atas nikmat yang menguntungkan.

Ya, iqtisod adalah hidup berhemah dengan wujud rasa syukur yang bersifat maknawi. Iqtisod juga merupakan bentuk penghormatan terhadap rahmat Tuhan yang tersimpan dalam pada nikmat-nikmat, sebab keberkatan yang muktamad, sumber kesihatan jasmani seperti diet badan, punca kehormatan yang menyelamatkan diri daripada kehinaan mengemis secara maknawi, dan punca kuat agar kita mampu merasai kelazatan dalam berbagai nikmat, serta menjadi perantara agar kita dapat mengecap segala nikmat kelazatan yang tersembunyi  secara zahirnya tidak kelihatan lazat. Bagi hidup pemborosan dan berlebihan pula, ia adalah bertentangan dengan hikmah-hikmah yang disebutkan, maka ia memiliki hasil natijah yang sebaliknya; merbahaya, memudaratkan atau berat.


NUKTAH KEDUA
Sang Pencipta al-Hakim menciptakan tubuh manusia tak ubahnya seperti istana yang mempunyai struktur binaan sempurna serta menyerupai sebuah kota yang tersusun rapi. Dia menjadikan deria rasa yang terdapat di mulut ibarat penjaga pintu, dan memposisikan urat saraf dan salur darah seumpama kabel telefon dan telegraf; yang berfungsi sebagai aliran komunikasi diantara deria rasa dan perut; yang terdapat di pusat tubuh manusia; sementara deria rasa bertugas menyampaikan maklumat mengenai makanan yang memasuki mulut; sekaligus menghalang masuknya barang yang tidak diperlukan oleh badan. Ia berkata, “Dilarang masuk!” dan mengusir makanan tersebut. Dan kadang-kala makan adalah merbahaya dan pahit, disamping tiada bermanfaat pada tubuh, ia akan segera menghalau dan meludahkannya dengan segera.

Maka, memandangkan alat deria rasa yang terdapat di mulut berposisi sebagai petugas penjaga pintu, sementara perut pula adalah ibarat pemimpin dan penguasa, jika ia dinilai dari segi pengurusan tubuh; Sekiranya sebarang perkara yang diberikan kepada sang pemimpin istana itu bernilai seratus lira, maka hanya lima peratus saja yang layak diberikan kepada penjaga pintu, dalam bentuk tips; Ataupun jika bukan sedemikian, si penjaga tadi menjadi lupa diri, rosak, dan lalai leka pada tugasnya, serta membenarkan ahli revolusi (benda merbahaya) mencerobohi istana angkara kelalaian daripada tugasnya; disamping ia telah disuap dengan tips yang lebih besar.

Berdasarkan misteri tersebut, bayangkan di hadapan kita ada dua potongan makanan; Salah satunya adalah makanan gizi berupa keju dan telur misalnya yang berharga 40 para,  sementara satunya lagi berupa kuih mahal yang harganya adalah 10 kurush. Sebelum masuk ke dalam mulut, nilai kedua-dua potongan makanan tersebut  tidak mempunyai perbezaan terhadap tubuh, ia adalah setara. Juga setelah memasuki mulut, kedua-duanya sama-sama baik bagi kesihatan badan. Bahkan, barangkali keju yang berharga 40 para adalah lebih berkhasiat buat badan. Hanya, kenikmatan yang diberikan kepada deria rasa yang manja, perbezaan selama lebih kurang dari setengah minit. Dapat diperlihatkan bahawa betapa borosnya dan merugikan jika kita memilih untuk meningkatkan perbelanjaan dari 40 para kepada 10 kurush demi kenikmatan yang hanya berlangsung selama setengah minit.

Demikianlah, walaupun hadiah yang sampai ke istana adalah bernilain satu lira, jika si penjaga pintu tadi diberikan tip bernilai sembilan kali lebih dari seharusnya, tentu akan merosakkannya. Membuatkannya lupa diri dan selanjutnya berkata, “Akulah yang berkuasa”. Dan seterusnya akan membenarkan masuk, buat sesiapa yang memberikannya hadiah yang lebih besar dan kenikmatan paling banyak; ia akan menyebabkan api revolusi dan kebakaran berlaku. Lalu membuat si pemiliknya terpaksa meminta berteriak, “Oh! Panggil doktor dengan segera bagi memadamkan api dalam diriku dan meredakan kepanasanku”.

Jadi hidup berhemah dan qana’ah adalah dua hal yang sangat sejalan dengan hikmah Ilahi. Keduanya menempatkan alat penanda di atas laksana petugas penjaga, memposisikannya secara wajar, serta memberi upah kepadanya sesuai dengan tugas yang ada. Adapun hidup boros dan berlebihan bertentangan dengan hikmah Ilahi. Oleh kerana itu, orang yang boros akan cepat mendapat penyakit. Sebab, perut akan berisi dengan berbagai campuran berbahaya yang mampu menghilangkan selera makan sebenarnya. la pun makan dengan selera palsu yang muncul melalui berbagai jenis makanan yang menyebabkan kesulitan pencernaan.


NUKTAH KETIGA
Kami telah mengatakan dalam nuktah kedua di atas bahawa deria rasa adalah penjaga pintu. Ya, begitulah juga keadaannya bagi mereka yang lalai yang tiada kemajuan rohanian atau mereka yang belum menaiki tangga kesyukuran, ia adalah ibarat penjaga pintu. Seharusnya tidaklah boleh  keborosan dihanyutkan atau harga penilaian deria rasa tidak seharusnya ditingkatkan dari yang sewajarnya kepada sepuluh kali ganda demi kenikmatan semata.

Walaupun begitu, deria rasa yang terdapat pada sesiapa yang memiliki kesyukuran hakiki, dan para ahli hakikat serta mereka mendekati hakikat dengan kalbunya; deria rasanya adalah laksana penyelia, pemeriksa dan pengawal dalam dapur rahmat Ilahi – sebagaimana yang telah dijelaskan pada perumpamaan yang terdapat dalam Kalimah Keenam. Tanggungjawab deria rasa adalah bagi mengenal dan menilai berbagai nikmat Ilahi di atas skala kecil tentang jumlah makanan, dan mengkhabarkan kepada tubuh dan perut dalam bentuk syukur maknawi.

Tentang ini, tugas deria rasa bukanlah sekadar melindungi perut secara zahir; tetapi memandangkan ia juga bertugas memelihara kalbu, ruhani, dan akal, perlu diketahui bahawa ia mempunyai kedudukan yang lebih penting berbanding perut. Ia boleh mendapatkan kenikmatannya— dengan syarat tidak berlebihan — dengan tulus melaksanakan kewajipan syukur sekaligus mengenali berbagai-bagai nikmat Ilahi; dengan syarat ia mengikut hukum, dan tidak membawa kepada kemerosotan dan mengemis. Malah, makanan yang lazat boleh dinikmati bagi menggunakan lidah yang ada deria rasa dalam bersyukur. Terkait dengan hal ini, berikut adalah sebuah kisah yang menarik tentang karamah Syeikh Abdul Qadir al-Jailani yang berkait dengan hakikat ini:

Pada suatu ketika, Ghawth al-A‘zam, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani (rh) telah mengasuh satu-satunya anak tunggal kesayangan seorang wanita tua.1 Pada suatu hari, wanita tua tersebut pergi menemui anaknya. la melihat anaknya tidak mempunyai sebarang makanan yang boleh dimakan kecuali sepotong roti kering hitam. Hati kasih sayang sang ibu tergugat melihat badan anaknya yang lemah dan kurus hasil dari latihan rohaninya. Ia merasa sangat kasihan dengan keadaan anaknya. Kemudian ia segera pergi mengadukan hal itu kepada Ghawth al-A‘zam, dan melihat Ghawth al-A‘zam sedang menikmati seekor ayam panggang. Kerana kerisauan, dengan ia terus-terang berkata: “Wahai Ustad! Anakku hampir mati kelaparan; manakala engkau makan ayam?!” Setelah itu Ghawth al-A‘zam pun berkata kepada ayam itu: “Dengan izin Allah, bangkitlah!”. Lalu tulang ayam panggang tersebut terhimpun dan bangkit melompat pergi dari talam setelah hidup kembali. Kisah ini telah diriwayatkan secara mutawatir maknawi melalui sumber-sumber yang boleh diharap, dan daripada orang-orang yang boleh dipercayai untuk memperlihatkan salah satu karamah yang dimiliki oleh pemilik karamah terkenal di dunia. Ketika itu Ghawth al-A‘zam berkata padanya. “Apabila anakmu sudah sampai ke peringkat ini, maka dia juga boleh makan ayam”. Apa yang Ghawth al-A‘zam maksudkan adalah: “Apabila rohani anakmu sudah boleh menguasai jasadnya, kalbunya sudah mampu mengatas nafsunya, jika akalnya boleh menguasai perutnya, serta ia mahu merasai kelazatan tersebut kerana mahu bersyukur, maka ketika itu bolehlah ia merasai makanan yang enak dan lazat”.


NUKTAH KEEMPAT
Sebagaimana yang disebutkan: لاَ يَعُولُ مَنِ اقْتَصَدَ2, hadis Nabi ﷺ ini membawa makna: Orang yang iqtisod dan bersederhana tidak akan ditimpa masalah kesukaran dan kesusahan dalam menanggung keluarganya. Ya, terdapat banyak bukti yang menunjukkan kesederhanaan adalah menjadi faktor penurunan keberkatan dan modal kehidupan yang baik. Di antaranya adalah melalui pengalamanku sendiri serta pengakuan orang-orang yang telah membantuku, yakni kadangkala aku mendapat sepuluh kali ganda keberkatan kerana hidup bersederhana, sebegitu juga dengan para temanku. Bahkan, pada sembilan tahun lalu, – dan kini ia adalah 30, beberapa pemimpin puak suku yang dibuang bersamaku Burdur telah memaksaku menerima zakat harta mereka dengan niat agar aku tidak jatuh miskin kefakiran, kerana wangku yang amat sedikit. Aku katakan kepada para pemimpin yang kaya raya itu: “Wangku sangat sedikit, namun aku mampu hidup sederhana dan berekonomi. Aku sudah biasa merasa cukup sehingga aku tidak memerlukan bantuan kalian. Aku lebih mampu berbanding apa yang kalian sangkakan.” Aku menolak  tawaran mereka yang berulang-ulangan itu. Dan harus diperhatikan bahawa ternyata sebahagian besar orang-orang besar yang menawarkan zakat mereka padaku, dua tahun kemudian dililit hutang kerana tidak hidup bersederhana. Alhamdulillah,  berkat hidup berhemah dan bersederhana, wangku yang sedikit tadi masih mencukupi bagiku untuk mencapai sehingga tujuh tahun berikutnya. Ia tidak menjatuhkan air mukaku, tidak sampai meminta bantuan pada orang,  masih dapat berpegang kepada prinsip hidupku, iaitu istighna

Ya, orang yang tidak hidup berhemah akan jatuh pada kehinaan serta akan tergelincir pada jurang kefakiran menjurus kepada mengemis. Menurut pada zaman sekarang ini, harta yang dipergunakan untuk hidup berlebihan adalah merupakan harta yang sangat mahal dan teramat berharga. Sebab kadangkala seseorang menjual kehormatan dan kemuliaan diri, dan mengambil rasuah demii memperolehinya. Bahkan seringkali kesucian agama dipertaruhkan hanya untuk mendapatkan wang yang tidak bersih. Atau dengan kata lain, seseorang berusaha mendapatkan harta bernilai 10 kurush bagi mendapatkan kerugian maknawi ratusan kurush.

Padahal menurut maksud yang terkandung dalam firman Allah: Pada maknawi tersirat ayat;
3 إِنَّ ٱلله هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُوٱلقُوَّةِ ٱلْمَتِينُ serta maknawi tersurat ayat,
4وَمَا مِنْ دَآبّةٍ فِى الاَرْضِ اِلاَّ عَلَى اللهِ رِزْقُهَا
menegaskan bahawa jika manusia berhemah dan membataskan keperluan diri hanya pada asasi, ia akan mendapat rezeki sebanyak yang perlu bagi meneruskan hidup dalam bentuk yang tidak disangka-sangkakannya. Ini kerana ayat suci diatas telah memberikan jaminan tersebut.

Ya, terdapat dua jenis rezeki:5
  • Pertama: Rezeki hakiki iaitu seseorang itu akan dapat meneruskan hidup dengannya. Rezeki tersebut dijamin oleh Tuhan sesuai dengan bunyi ayat di atas. Setiap orang boleh memperoleh rezeki tersebut jika ikhtiar buruk manusia tidak ikut campur, tidak sampai mengorbankan agamanya, serta tidak menggadaikan kehormatan dan kemuliaannya.
  • Kedua: Rezeki metafora iaitu; hajat/keperluan yang secara hakikatnya tiada kepentingan, tetapi kemudian yang disalahgunakan, lalu tertukar menjadi satu keperluan bagi dirinya, sehingga menjadi ketagihan akibat bala yang menjadi tabiat dan adatnya, dan tidak boleh meninggalkannya. Rezeki sebegini tidak berada dibawah jaminan Rabbani, maka harga bagi memperolehi rezeki ini sangat mahal  apalagi pada zaman kita sekarang ini. Harta yang sia-sia tersebut seringkali diperoleh dengan cara menggadaikan kehormatan diri dan menerima penghinaan. Bahkan kadang-kadang hingga pada amalan meminta-rayu hingga sanggup mencium kaki orang. Lebih dari itu kadangkala harta yang buruk tersebut harus dibayar dengan mengorbankan kesucian agamanya, padahal ia merupakan cahaya buat hidup yang kekal abadi.

Selanjutnya, pada zaman kemiskinan dan kepahitan ini, orang-orang dalam kesusahan yang berakal akan merasa menyesal kesedihan terhadap kelaparan dan keadaan keperluan; ia akan membusukkan sebarang kenikmatan harta yang diperolehi melalui jalan haram. Bahkan kepedihan tersebut bertambah pahit bagi mereka yang sensitif dan memiliki nurani. Sejauh mana harta itu adalah meragukan, seseorang harus membatasi diri serendah mungkin dengan bingkai darurat pada zaman aneh ini. Kerana, berikutan sesuai dengan garisan syarat, “Keadaan darurat ditetapkan berdasarkan kadarnya”, harta yang haram boleh diterima secara terpaksa dalam batasan kecil darurat, tidak lebih dari itu. Seseorang yang dalam keadaan darurat yang amat memerluakan boleh memakan daging haram, tapi bukan makan hingga kenyang. Ia boleh makan sekadarnya hanya bagi mengelakkan kematian. Malah, makanan tersebut juga tidak boleh dinikmati di hadapan ratusan manusia kelaparan.

Di sini kami akan mengetengahkan sebuah kejadian nyata yang menunjukkan bahwa hidup bercermat adalah penyebab kemuliaan dan kesempurnaan.

Ada satu peristiwa yang menunjukkan bahawa iqtisod ialah sebab kemuliaan dan kesempurnaan. Pada suatu hari, Hatim ath-Tho’i yang terkenal dengan sifat dermawan mengadakan sebuah jamuan. la berikan berbagai hadiah berharga kepada para tetamunya. Setelah itu, ia terus keluar bersiar-siar di padang pasir. Di sepanjang jalan, ia melihat seorang lelaki tua miskin sedang memikul beban berat berupa kayu, ranting dan lalang yang berduri di pinggangnya. Beban itu telah melukakannya hingga darah mengalir dari sebagian badannya. Lantas Hatim pun segera berkata pada orang tua tersebut: “Ya Syeikh, hari ini Hatim ath-Tho’i mengadakan satu jamuan besar dan memberikan hadiah berharga. Kamu juga cepatlah pergi ke sana, barangkali engkau juga mendapatkan harta yang nilainya berlipatkali lebih banyak menggantikan hasil beban yang kau pikul itu yang hasilnya sedikit sahaja!!”. Namun orang tua yang sederhana tadi menjawab: “Aku mampu menanggung beban yang berduri ini dengan kehormatan diriku. Aku tidak mahu berasa terhutang budi kepada Hatim ath-Tho'i dan menjatuhkan harga diriku demi mendapatkan pemberian Hatim ath-Tho’i”.

Kemudian pada suatu hari mereka bertanya kepada Hatim ath-Tho’i ditanya: “Siapa orang yang lebih mulia darimu?” Dia menjawab: “Sesungguhnya aku temui orang lelaki tua secara tiba-tiba di padang pasir. Aku saksikan orang tua tersebut betul-betul lebih mulia, lebih tinggi dan lebih pemurah daripada aku”.





DIPNOTE

  1. Menurut al-Yafi’iy ada sebuah riwayat sahih yang sanadnya bersambung kepada Syeikh Abdul Qadir al-]ilani rahimahullah yang isinya, “Ibu dari anak muda tersebut pergi menemui Syeikh yang sedang memakan ayam. Sang ibu tidak senang melihat sang Syeikh memakan ayam sementara anaknya diberi makanan yang paling hina. Maka Syeikh Abdul Qadir al-Jilani berkata kepadanya, ‘jika anakmu sudah boleh berkata kepada ayam semacam ini, “Bangkitlah dengan, izin Allah!” (Ayam itupun bangkit dengan sayapnya dan terbang), maka ia berhak memakannya’.

  2. “Tidak akan miskin orang yang hidup sederhana”. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ibnu Mas’ud. Lihat: Kasyful Khafa (2: 189).

  3. “Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga,lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.” (Surah adz-Dzariyat [51]: 58)

  4. “Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya.” (Surah Hud [11]: 6)

  5. Lihat: al-Jurjani, Tarikh Jurjan, 366; al-Ghazali, al-Maqsad al-Asna, 85-6