abcd

Yoppa

nuffnang

Kalimah Ke-4: Tiang Agama


 اَلصَّلاَةُ عِمَادُ الدِّينِ

Jika anda ingin mengetahui kepentingan dan nilai sembahyang, dan betapa ia amat mudah untuk dilaksanakan dan dicapai, dan bahawa sesiapa yang tidak mendirikannya dan tidak menunaikan hak sembahyang itu adalah seorang yang bodoh dan rugi … Ya, jika anda ingin mengetahui tentang kesemuanya itu dengan penuh keyakinan, sebagaimana keyakinan anda terhadap hasil dua darab dua ialah empat, maka perhatikanlah hikayat ringkas berikut:

Pada suatu hari, seorang raja yang bijaksana telah menghantar dua orang khadamnya menuju ke sebuah ladangnya yang indah. Sebelum berangkat, kedua-dua khadamnya itu diberikan wang sebanyak 24 dinar, agar kedua-duanya dapat tiba ke ladang tersebut yang mempunyai jarak sejauh dua bulan perjalanan. Si raja memerintahkan kedua-dua khadamnya agar membelanjakan wang tersebut untuk harga tiket dan keperluan perjalanan yang lain. Manakala sebahagiannya hendaklah disimpan bagi keperluan perbelanjaan dan tempat tinggal di sana. Terdapat sebuah stesen perhentian bagi para musafir sejauh sehari perjalanan. Di situ terdapat segala jenis kenderaan pengangkutan seperti kereta, kapal terbang, kapal laut dan keretapi … Setiap satunya mempunyai harga tiket yang berlainan.

Kedua-dua khadam tersebut keluar selepas menerima arahan daripada si raja. Salah seorang daripada mereka adalah seorang yang bernasib baik dan bahagia, kerana dia hanya membelanjakan sedikit sahaja daripada wang yang diterimanya sebaik sahaja tiba di stesyen tersebut. Dia membelanjakan wang tersebut dalam perniagaan yang mendatangkan keuntungan dan menjadikan si raja merasa bangga dengannya. Dengan itu, modalnya bertambah daripada satu kepada seribu.

Manakala khadam yang kedua, sebaik sahaja sampai ke stesen tersebut, oleh kerana nasibnya tidak baik dan lantaran ebodohannya, dia telah membelanjakan sebanyak 23 dinar yang ada padanya untuk hiburan dan perjudian. Ini bermakna dia telah membelanjakan kesemua wang yang ada padanya pada perkara yang sia-sia, kecuali yang tinggal hanya satu dinar sahaja lagi.

Sahabatnya, iaitu khadam yang pertama berkata kepadanya untuk menasihatinya:
“Wahai sahabatku! Belilah tiket untuk engkau bermusafir dengan satu dinar yang masih ada. Janganlah kamu mensia-siakannya juga. Tuanmu adalah seorang yang pemurah dan pengasih. Mungkin baginda akan memberikan rahmat dan keampunanNya kepadamu terhadap kecuaian yang telah kamu lakukan, lalu kamu dibenarkan menaiki kapalterbang dan kita akan sampai ke tempat tujuan kita pada hari yang sama. Tetapi jika kamu tidak melakukan apa yang aku sarankan ini, maka kamu akan terpaksa menyambung perjalanan yang sejauh dua bulan ini di padang pasir yang kering kontang dengan berjalan kaki. Ketika itu, kelaparan akan menerkam kamu, keseorangan akan mencengkam kamu dalam perjalanan yang panjang ini.”

Perhatikanlah, jika khadam itu tetap berdegil lalu membelanjakan satu dinar yang masih ada di tangannya demi untuk memenuhi syahwatnya yang sementara dan menelampiaskan keinginan untuk memperoleh kelazatan yang sedikit, bukan menggunakannya untuk membeli tiket perjalanan yang merupakan kunci kepada khazanah yang luas, maka bukankah itu bermakna bahawa dia adalah seorang yang benar-benar celaka, rugi, bodoh dan tolol ...? Bukankah pada ketika itu dia adalah seorang manusia yang paling dungu?

Manakala dua orang khadam yang bermusafir itu pula, salah seorang daripada mereka adalah seorang yang kuat dan taat beragama mendirikan sembahyang dengan penuh kerinduan dan mengerjakannya dengan sebenar-benarnya. Manakala khadam yang kedua pula adalah seorang yang lalai dan meninggalkan sembahyang.. Manakala wang yang berjumlah 24 dinar itu pula adalah 24 jam bagi setiap hari umur manusia.

Wahai orang yang tidak menunaikan sembahyang!

Wahai jiwaku yang merasa sempit dengannya!


Sesungguhnya raja atau tuan yang dimaksudkan di dalam kisah di atas adalah Tuhan kita yang telah menciptakan kita.

Manakala dua orang khadam yang bermusafir itu pula, salah seorang daripada mereka adalah seorang yang kuat dan taat beragama mendirikan sembahyang dengan penuh kerinduan dan mengerjakannya dengan sebenar-benarnya. Manakala khadam yang kedua pula adalah seorang yang lalai dan meninggalkan sembahyang..

Manakala wang yang berjumlah 24 dinar itu pula adalah 24 jam bagi setiap hari umur manusia.

Ladang yang indah itu pula adalah syurga.

Manakala stesen perhentian itu pula adalah kubur.

Manakala perjalanan dan pemusafiran yang panjang itu pula adalah perjalanan manusia yang menuju ke arah kubur dan berjalan menuju kebangkitan semula. Dia akan bertolak ke negeri yang kekal abadi. Mereka yang melalui jalan ini, akan melaluinya dalam darjat yang berbeza. Setiap orang mengikut sejauh mana amalan dan ketaqwaannya. Segolongan orang yang bertaqwa dapat merentasi jarak sejauh seribu tahun perjalanan hanya dalam tempoh satu hari sahaja, seolah-olah mereka adalah kilat. Manakala segolongan daripada mereka pula dapat merentasi jarak sejauh 50 ribu tahun dalam masa satu hari sahaja, seolah-olah ia adalah satu khayalan. Hakikat ini telah disebutkan secara tidak langsung di dalam dua ayat daripada al-Quran..

Manakala tiket itu pula, ialah sembahyang lima waktu berserta dengan tempoh mengambil wuduk hanya memakan masa tidak lebih daripada satu jam!<

Alangkah ruginya orang yang menghabiskan 23 jam kehidupannya dalam sehari untuk dunia yang singkat ini dan tidak mahu menggunakan satu jam yang terbaki untuk kehidupannya yang kekal abadi nanti! Alangkah zalimnya orang itu terhadap dirinya dan alangkah bodohnya dia!

Jika seseorang mengeluarkan separuh duitnya untuk membeli tiket loteri, sedangkan seribu orang yang lain membeli tiket yang sama, ia adalah perkara yang boleh diterima walaupun kemungkinan menang hanyalah seorang dari seribu. Bagaimana pula keadaannya jika ada seorang individu yang enggan untuk membelanjakan satu bahagian daripada 24 bahagian yang dimilikinya demi untuk mendapatkan keuntungan yang terjamin, dan demi untuk mencapai khazanah kekayaan yang abadi, yang mana jaminan untuk memperolehnya ialah pada kadar 99 peratus? Bukankah tindakan tersebut dianggap bercanggah dengan akal yang waras dan jauh daripada hikmah kebijaksanaan? Bukankah semua orang yang menganggap dirinya berakal tidak boleh menerima perkara ini?

Sesungguhnya sembahyang itu sendiri merupakan kerehatan agung bagi roh, hati dan akal. Tambahan pula, ia bukanlah satu amalan yang memenatkan badan. Lebih daripada itu, segala amalan yang dilakukannya di dunia turut dianggap sebagai ibadat baginya jika dilakukan dengan niat yang betul. Dengan itu, seseorang yang bersembahyang akan dapat menukarkan seluruh modalnya iaitu umurnya untuk kepentingan akhiratnya. Dengan itu, dia akan memperoleh umur yang kekal (di akhirat) setelah membayar umurnya yang fana’ (di dunia).