abcd

Yoppa

nuffnang

Kalimah Keenam


Apakah perniagaan yang menguntungkan dan kerugian yang memeritkan?



Dengan nama Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga.”
(Surah At-Taubah [9] : 111)

Jika anda ingin mengetahui bahawa menjual jiwa dan harta kepada Allah, serta berubudiyyah kepadaNya dan menjadi tentera pada jalanNya merupakan perniagaan yang paling menguntungkan dan paling mulia, maka tumpukan pendengaran anda kepada cerita pendek berikut:
Pada suatu hari, seorang sultan telah meletakkan barang amanah di sisi dua orang rakyatnya, iaitu bagi setiap orang sebuah ladang yang luas. Di dalam ladang terdapat segala jenis mesin, alat, senjata, haiwan dan sebagainya. Kebetulan waktu itu merupakan zaman perang yang sengit. Tiada suatu pun yang stabil. Sama ada keadaan perang akan mengubahnya atau terus memusnahkannya sama sekali. Lalu sultan itu dengan segala rahmat dan kelebihannya mengutus seorang utusan yang rapat dengannya bagi membawa perintahnya yang mulia untuk disampaikan kepada kedua-dua orang rakyatnya itu. Utusan itu berkata:
“Jualkanlah kepadaku segala barang amanah yang terdapat pada kamu untuk aku menjaganya bagi pihak kamu. Agar segalanya tidak musnah begitu sahaja pada zaman yang amat genting ini. Aku akan mengembalikannya kepada kamu, apabila perang telah selesai. Aku akan memberikan bayaran yang tinggi, seolah-olah barang amanah itu adalah milik kamu sendiri. Sekarang kamu masih boleh menggunakan mesin dan alat yang berada di dalam penjagaan kamu itu tetapi di dalam bengkelku dengan namaku dan dengan penjagaan daripadaku. Harganya pula akan menjadi berlipat kali ganda daripada satu kepada seribu di samping semua keuntungan akan kembali kepada kamu semuanya. Aku juga berjanji akan menanggung segala kos dan perbelanjaan penjagaan mesin dan alat tersebut, kerana kamu tidak mampu dan miskin serta tidak berdaya untuk menanggung kos tersebut. Aku juga akan mengembalikan kepada kamu segala hasil dan manfaat yang diperolehi. Aku juga akan mengekalkan hasil dan manfaat itu di sisi kamu agar kamu dapat mengambil faedah daripadanya dan mendapat kenikmatan daripadanya sehinggalah tiba waktu untuk mengambilnya daripada kamu.
“Dengan itu, kamu mempunyai lima martabat keuntungan hanya melalui satu urusan perniagaan sahaja.“Jika kamu tidak menjualnya kepadaku, semua yang ada di sisi kamu pasti akan hilang. Kamu juga akan melihat bagaimana tiada seorang pun yang mampu mengekalkan apa yang ada di sisinya. Kamu juga tidak akan memperoleh harganya yang mahal. Kamu juga akan meninggalkan segala peralatan yang hebat dan mahal, neraca yang amat sensitif dan galian yang bernilai. Kamu akan kehilangan nilainya keseluruhannya. Ini adalah kerana ia tidak digunakan pada kerja yang bernilai tinggi. Kamu juga akan menanggung segala perbelanjaan dan kos pentadbirannya, serta kamu juga akan melihat balasan pengkhianatan kamu terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan. Itulah lima kerugian yang dialami dalam satu urusan perniagaan sahaja. Lebih daripada itu, dengan jual beli tersebut penjual itu menjadi seorang tentera yang mulia dan bebas serta menjadi tentera elitku yang bertindak dengan namaku. Tidak lagi menjadi orang tawanan biasa dan individu yang terbiar begitu sahaja.”
Kedua-dua lelaki tadi mendengar perkataan-perkataan yang indah dan perintah sultan yang mulia itu dengan penuh khusyuk. Maka si pintar dan berakal daripada mereka berkata:
“Saya dengar dan patuh akan perintah sultan. Saya reda terhadap jual beli tersebut dengan penuh kebanggaan dan kesyukuran.” 
Manakala yang seorang lagi, iaitu si lalai, tertipu dan jahil menyangka bahawa ladangnya tidak akan musnah selama-lamanya dan tidak ditimpa bencana alam dan kemelut dunia. Dia berkata:
“Tidak! Siapa sultan?! Aku tidak akan menjual milikku. Aku tidak akan merosakkan keghairahanku untuk bergembira!”
Hari-hari berlalu. Lelaki pertama mendapat kedudukan tinggi yang dicemburui oleh orang ramai, kerana dia tinggal di tengah-tengah kemakmuran istana sultan. Dia mendapat kenikmatan daripada sifat kasih sayang sultan dan sentiasa berada di atas bangku-bangku kurniaan baginda. Manakala lelaki kedua pula diberikan bala bencana sehingga semua orang meratapi keadaannya, meskipun mereka berkata:
“Memang dia berhak menerimanya.” 
Kerana dialah yang membenamkan dirinya dalam kepahitan azab sebagai balasan terhadap kesalahan yang dilakukannya. Oleh itu, keghairah- annya untuk bergembira tidak kekal lama, begitu juga dengan pemilikannya.


Wahai jiwaku yang terpedaya! 


Lihatlah melalui pandangan cerita ini kepada wajah hakikat yang sebenarnya. Sultan yang dimaksudkan dalam cerita di atas adalah Sultan Azali dan Abadi, iaitu Tuhanmu dan Penciptamu. Ladang, mesin, peralatan dan neraca timbangan ialah milikmu di atas muka dunia ini yang terdiri daripada tubuh badan, roh dan hati, serta pendengaran, penglihatan, akal dan khayalan yang terdapat padanya, atau ia adalah segala deriamu yang zahir dan batin. Manakala orang utusan itu pula ialah Saiyidina Muhammad s.a.w. Perintah sultan yang tegas itu pula ialah al-Quran yang telah mengisytiharkan jual-beli dan perniagaan yang menguntungkan itu melalui ayat 111, surah al-Taubah:

 
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orangorang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga.”

Manakala kawasan yang sentiasa huru hara dan peperangan yang menghancurkan itu pula adalah hal ehwal dunia ini, kerana tiada apa pun yang stabil dan tetap di atasnya. Semuanya adalah pertukaran dan perubahan yang menerjah manusia dengan satu persoalan:
“Semua yang kita miliki tidak stabil dan tidak kekal berada pada tangan kita, bahkan ia akan musnah dan hilang daripada kita. Tidakkah ada penawar atau ubat bagi keadaan ini? Tidakkah mungkin jika keberkekalan menempati dan menggantikan kemusnahan ini?”
Sedang manusia tenggelam dalam pemikiran ini, tiba-tiba dia mendengar gemaan suara al-Quran dari langit yang berdengung di seluruh ufuk membacakan ayat tersebut kepadanya. Ya! Memang terdapat penawar bagi penyakit tersebut. Bahkan ia hanyalah rawatan yang kecil, namun membawa keuntungan yang besar melalui lima martabat.

Soalan: Apakah penawarnya?
Jawapan: Menjual barangan amanah kepada pemiliknya yang sebenar. Dalam jual beli ini terdapat lima martabat keuntungan melalui satu urusniaga sahaja yang dijalankan.

Keuntungan pertama: Harta yang akan musnah menjadi kekal, kerana umur manusia yang akan habis yang diberikan kepada Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Kekal dan dikorbankan pada jalanNya akan bertukar menjadi umur yang abadi dan berkekalan. Ketika itu, minit-minit umur akan membuahkan buahan yang ranum dan bungaan kebahagiaan lagi bersinar di alam kekal sepertimana binasa biji benih pada zahirnya tetapi ia akan melahirkan bungaan dan tangkai yang banyak.

Keuntungan kedua: Harganya ialah syurga.

Keuntungan ketiga: Harga setiap anggota dan pancaindera meningkat dan menjadi mahal seribu kali ganda.


Contohnya: Akal adalah anggota dan alat. Wahai saudaraku! Jika engkau tidak menjualnya kepada Allah dan engkau tidak menggunakannya pada jalan Allah, bahkan engkau menggunakannya pada jalan hawa nafsu, maka ia akan bertukar menjadi anggota yang celaka, mengganggu dan lemah. Kerana ia membebankan engkau dengan segala kesakitan masa lalu yang mendukacitakan dan kedahsyatan masa hadapan yang menakutkan. Ketika itu, ia bertukar menjadi alat yang memudaratkan dan mencelakakan. Bukankah engkau dapat melihat bagaimana seseorang fasiq melarikan diri daripada realiti kehidupannya dan tenggelam dalam permainan, hiburan atau kemabukan demi menyelamatkan dirinya daripada gangguan-gangguan akalnya? Tetapi apabila akal dijual kepada Allah, dan digunakan pada jalanNya dan demi keranaNya, maka ia akan menjadi anak kunci yang indah kerana ia dapat membuka khazanah rahmat Ilahi dan hikmat rabbani yang tidak terbatas. Kemana sahaja seseorang memandang, atau apa sahaja yang difikirkannya, maka dia akan dapat melihat hikmat Ilahi dalam semua perkara, dalam semua kewujudan dan dalam semua kejadian. Dia juga dapat menyaksikan rahmat Allah terjelma di atas seluruh kewujudan. Dengan itu, akalnya meningkat kepada martabat seorang mursyid yang rabbani yang menyediakan tuannya untuk memperoleh kebahagiaan yang berkekalan.

Contohnya lagi: Mata adalah salah satu pancaindera. Melaluinya, ruh dapat menjenguk dan melihat alam maya ini. Jika engkau tidak menggunakannya pada jalan Allah, bahkan engkau menggunakannya demi memenuhi tuntutan hawa nafsu, iaitu dengan melihat beberapa pemandangan yang keindahannya adalah sementara dan akan hilang tidak lama selepas itu, maka pancaindera itu akan bertukar menjadi khadam dan orang tengah yang hina bagi membangkitkan syahwat hawa nafsu. Tetapi jika engkau menjualnya kepada Tuhan yang Menciptanya iaitu Tuhan yang Maha Melihat dan engkau menggunakannya pada perkara yang diredai olehNya, ketika itu mata engkau melihat dan membaca buku alam yang luas ini, serta menyaksikan mukjizat buatan Rabbani di alam kewujudan. Ketika itu ia seolah-olah adalah lebah yang berada antara bunga rahmat Ilahi dalam kebun di bumi. Lalu daripada madu pengiktibaran dan kasih sayang, tertitislah cahaya penyaksian ke dalam hati seorang mukmin.

Contohnya lagi: Jika engkau tidak menjual deria rasa yang berada pada lidah kepada Penciptanya yang Maha Bijaksana, dan anda gunakannya demi memenuhi perut dan nafsu, ketika itu, engkau akan terhumban ke dalam lubang kilang dan kandang perut, lalu nilainya akan menurun. Tetapi jika engkau menjualnya kepada tuhan pemberi rezeki lagi maha pemurah, maka kedudukannya akan meningkat hingga ke darjat seorang nazir yang mahir bagi khazanah rahmat Ilahi dan penjaga yang bersyukur terhadap dapur qudrat Ilahi.

Wahai akal! Sedarlah. Di manakah kedudukan alat yang celaka itu jika dibandingkan dengan kunci khazanah alam semesta ini?

Wahai mata! Lihatlah baik-baik. Di manakah kedudukan broker yang keji itu jika dibandingkan dengan peluang untuk memandang dan melihat ke dalam perpustakaan Ilahi?

Wahai lidah! Rasalah kemanisan. Di manakah kedudukan kilang dan kandang perut jika dibandingkan dengan kedudukan seorang nazir dan penjaga khazanah rahmat ilahi?

Jika engkau mahu, wahai saudaraku, bandingkanlah anggota dan pancaindera yang lain juga. Ketika itu, engkau akan faham bahawa sesungguhnya seseorang mukmin akan mendapat satu sifat khusus yang melayakkannya memasuki syurga, sebagaimana seseorang yang kafir akan memperoleh satu sifat khusus yang akan membawanya ke neraka. Mereka berdua diberikan balasan yang adil adalah kerana si mukmin menggunakan amanah yang diberikan oleh tuhannya dengan nama tuhannya dan di sempadan kawasan keredhaanNya serta berdasarkan keimanannya, manakala si kafir itu pula mengkhianati amanah dan menggunakannya bagi memenuhi tuntutan nafsu dan jiwanya yang ammarah bi as-su’ (sentiasa menyuruh melakukan kejahatan).

Keuntungan keempat: Sesungguhnya manusia adalah dhaif sedangkan musibah yang menimpanya banyak. Dia adalah fakir dan keperluannya semakin bertambah. Dia adalah lemah tetapi tanggungan kehidupannya amat membebankan. Jika manusia ini tidak bertawakkal dan tidak bersandar kepada Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Berkuasa, jika dia tidak menyerahkan segala urusan kepadaNya dan tidak merasa tenang denganNya, maka dia akan terus mengalami kesakitan yang berterusan di dalam perasaannya. Penyesalan dan usahanya yang tidak mendatangkan hasil akan sentiasa mencekiknya sehingga menjadikannya sama ada seorang penjenayah yang kejam atau pemabuk yang melampau.

Keuntungan kelima: Adalah disepakati secara ijmak di kalangan ahl al-ikhtisas, al-shuhud, al-dhawq dan al-kasyf bahawa ibadat, zikir dan tasbih yang dilakukan oleh anggota- anggota badan ketika ia beramal dalam batasan sempadan keredhaan Allah s.w.t, akan bertukar menjadi buah-buahan syurga yang sedap dan lazat yang dihidangkan kepada anda ketika anda amat berhajat kepadanya.

Demikianlah dalam perniagaan ini terdapat keuntungan besar yang mengandungi lima martabat keuntungan. Jika anda tidak melakukannya, anda akan terhalang daripada memperoleh keseluruhan keuntungan tersebut. Di samping anda juga akan mengalami lima martabat kerugian yang lain, iaitu:

Kerugian pertama: Harta dan anak yang anda kasihi, hawa nafsu yang anda layani, kehidupan dunia serta zaman muda yang anda kagumkan, semuanya akan lenyap dan hilang. Ia juga akan meninggalkan sisa-sisa dan kesan-kesan dosa dan kesakitan yang tertanggung di belakang anda.

Kerugian kedua: Anda akan mendapat balasan sebagai seorang yang mengkhianati amanah. Kerana dengan penggunaan alat serta anggota yang paling berharga pada perkara yang paling hina, bererti anda telah menzalimi diri anda sendiri.

Kerugian ketiga: Anda telah melakukan pembohongan dan jenayah terhadap hikmat Ilahi, kerana anda telah menjatuhkan segala peralatan kemanusiaan yang tinggi kedudukannya itu kepada darjat binatang ternakan, bahkan lebih rendah lagi.

Kerugian keempat: Anda akan sentiasa menyeru dengan kecelakaan dan kemusnahan. Anda akan sentiasa mengeluh akibat kejutan perpisahan, kehilangan dan injakan tanggungan kehidupan yang membebankan bahu anda yang sudah sememangnya lemah. Sedangkan kefakiran anda sudah sedia wujud dan kelemahan anda sentiasa berpanjangan.

Kerugian kelima: Sesungguhnya hadiah Allah yang indah seperti akal, hati, mata dan seumpamanya, tidak dianugerahkan kepada anda melainkan untuk menyediakan anda bagi membuka pintu-pintu kebahagiaan abadi. Oleh itu, alangkah besarnya kerugian anda jika hadiah-hadiah tersebut bertukar menjadi gambaran penderitaan yang membuka pula pintu-pintu neraka jahannam!

Sama sekali tidak. Tiada kepenatan dan bebanan sama sekali. Kerana daerah perkara halal amat luas memadai untuk mendapat kerehatan, kebahagiaan dan kegembiraan. Tidak perlu kepada mendapatkan yang haram.

Manakala kefardhuan yang ditetapkan oleh Allah (s.w.t) pula adalah amat ringan dan kecil. Di samping ubudiyyah kepada Allah itu sendiri adalah suatu kemuliaan agung kerana ia bermakna menjadi jundi (tentera) pada jalan Allah (s.w.t) yang padanya terdapat kelazatan dan kerehatan perasaan yang tidak dapat digambarkan.
Oleh itu, anda berkewajipan untuk menjadi si jundi itu. Anda hendaklah memulakan dengan segalanya dengan nama Allah, bekerja dengan nama Allah, mengambil dan memberi demi keranaNya sematamata, bergerak dan diam dalam daerah keredhan dan perintahNya sahaja. Jika berlaku kecuaian, maka di hadapan anda terdapat pintu istighfar. Bertadarru’lah kepada Allah dengan berkata:
“Ya Allah! Ampunkanlah segala kesalahan kami. Terimalah kami dari kalangan hambaMu. Jadikanlah kami sebagai orang yang amanah terhadap apa yang Engkau amanahkan kepada kami sehingga kami bertemu denganMu nanti. Amin.”