abcd

Yoppa

nuffnang

Kalimah Keduapuluhsatu

MAQAM KEDUA
[Mengandungi lima kecederaan hati dan lima ubat penawarnya]
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
رَبِّ اَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ  وَاَعُوذُ بِكَ رَبِّ اَنْ يَحْضُرُونِ

Wahai saudaraku yang diuji dengan penyakit was-was! Adakah engkau tahu, was-was engkau itu sama dengan apa? Ia sebenarnya hampir-hampir sama dengan musibah. Ia bermula dalam keadaan kecil, kemudian ia akan membesar sedikit demi sedikit menurut sejauhmana engkau mengambil berat dan memberikan perhatian terhadapnya. Ia juga akan hilang dan terhapus menurut sejauhmana engkau mengabai- kannya dan tidak menghiraukannya. Oleh itu, ia akan menjadi besar jika engkau merasa ia besar dan kecil jika engkau memandangnya kecil. Jika engkau merasa bimbang terhadap- nya, ia akan memijak engkau dan memutarkan kepala engkau dengan pelbagai penyakit. Jika engkau tidak bimbang terhadapnya, ia akan menghilang dan bersembunyi. Jika engkau tidak mengetahui hakikat ini, ia akan berterusan dan menjadi kuat. Tetapi jika engkau mengetahui hakikatnya secara mendalam, ia akan mengecil bahkan seterusnya menghilang. Jika demikianlah keadaannya, saya akan menerangkan kepada anda lima bentuk yang banyak berlaku. Saya berharap dengan membuat penjelasan tentangnya dengan pertolongan Allah, ia akan menjadi penawar kepada hati kita, kerana kejahilan akan menjadikan kita was-was, sedangkan dengan ilmu sebaliknya akan menghalang daripada berlaku keburukannya. Jika anda jahil tentangnya, ia akan datang dan mendekati anda. Tetapi apabila anda mengenalinya, ia akan berundur dan melarikan diri.

WAJAH PERTAMA – Kesakitan Pertama
Syaitan akan melemparkan kekeliruannya ke dalam hati. Kemudian dia akan memerhatikan kesannya yang mungkin berlaku di dalam jiwa manusia. Jika was-was tersebut diingkarkan oleh hati, ia akan bertukar daripada kekeliruan kepada celaan dan makian. Syaitan menggambarkan khayalan sesuatu yang menyerupai celaan terhadap lintasan hati yang keji dan bisikan yang bercanggah dengan adab yang menjadikan hati tertekan di bawah tekanan kekecewaan lalu ia menjerit: “Alangkah kecewanya! Alangkah besar musibah yang menimpa!” Ia menyangka bahawa hatinya telah melakukan dosa dan telah melakukan satu kesalahan besar terhadap Tuhannya yang Maha Mulia. Ia juga merasa kucar kacir, beremosi dan gelisah, lalu terlepas daripada ikatan sakinah dan ketenangan malahan cuba untuk tenggelam di dalam lubuk kealpaan. Ubat atau penawar kepada luka ini ialah: 

Wahai saudaraku yang terkena ujian lagi dikasihani! Janganlah anda takut atau merasa kucar kacir. Kerana apa yang tergambar dalam cermin pemikiran engkau bukanlah cercaan dan celaan. Tetapi ia hanyalah beberapa gambaran khayalan yang melintasi cermin khayalan anda. Oleh kerana mengkhayalkan kekufuran bukanlah kekufuran, maka begitu juga mengkhayalkan cercaan bukanlah cercaan. Memang dimaklumi bahawa mengkhayalkan sesuatu tidak tertakluk kepadanya sebarang kesan hukum, manakala apabila cercaan itu benar-benar dilakukan barulah tertakluk kepadanya hukum tertentu. Lebih daripada itu, perkataan-perkataan yang tidak baik itu bukanlah lahir daripada hati kecil anda sendiri, kerana hati kecil anda merasa menyesal dan tidak suka terhadapnya. Mungkin ia datang daripada sentuhan syaitan yang berdekatan dengan hati seseorang. Oleh itu, kemudaratan was-was ialah jika kita merasakan atau menjangkakan kemudaratan, iaitu kemudaratan was-was terhadap hati kita ialah apa yang kita sangkakan kemudaratannya kepada kita. Seseorang hanya mengkhayalkan sesuatu yang tidak mempunyai asas sedikitpun seolah-olah ia adalah suatu yang benar dan hakiki. Lalu dilabelkan kepadanya perbuatan-perbuatan syaitan yang dia sedikitpun tidak mempunyai kaitan dengannya. Seterusnya dia menyangka bahawa bisikan syaitan itu adalah datang daripada lintasan hatinya sendiri. Dia menggambarkan bagaimana kemudaratannya dan akhirnya dia terjatuh ke dalam kemudaratan tersebut. Inilah apa yang dikehendaki oleh syaitan itu sendiri.

WAJAH KEDUA:
Ketika sesuatu pengertian keluar daripada hati untuk menembusi khayalan, ia bebas daripada sebarang gambaran. Ketika berada di dalam khayalanlah pengertian itu akan mula memakai pelbagai bentuk dan gambaran. Kerana sebab-sebab tertentu, khayalan sentiasa akan memakaikan pakaian tertentu kepada pengertian tersebut. Khayalan juga akan menayangkan gambar-gambar yang diambil berat olehnya sepanjang perjalanan. Oleh itu, sebarang pengertian yang datang, maka sama ada khayalan akan memakaikan kepadanya sesuatu gambaran atau menggantungkan gambaran itu pada pengertian tersebut atau mengotorkan pengertian tersebut dengan gambaran tertentu, atau menyembunyikan terus pengertian itu. Jika pengertian yang terlintas adalah bersih dan suci, dan gambaran atau pakaian adalah kotor dan cemar, maka sebenarnya tidak berlaku pemakaian dan penutupan ketika itu. Tetapi ia hanyalah sentuhan sahaja. Sebab itulah, seorang yang was-was kadang- kala merasa keliru antara sentuhan dengan pemakaian atau penutupan, lalu dia akan berkata kepada dirinya: “Alangkah celakanya! Hatiku telah terjerumus ke lembah kebinasanaan. Kerendahan dan kehinaan jiwa menjadikan aku termasuk ke dalam golongan yang terpinggir daripada rahmat Allah.” Dengan itu, syaitan mengambil peluang daripada perasaan yang sensitif ini secara berleluasa.

Ubat atau penawar kepada luka yang dalam ini ialah:

Najis yang berada di dalam perut anda tidak memberikan kesan dan tidak membatalkan sembahyang yang anda lakukan, bahkan memadai jika anda hanya melakukan taharah yang berbentuk luaran dan jasmani sahaja. Begitu juga dengan pengertian-pengertian keji dan buruk yang tertempel pada pengertian-pengertian yang suci dan kudus. Contohnya:

Mungkin anda sedang melakukan tadabbur terhadap salah satu ayat al-Quran. Tiba-tiba anda didatangi oleh satu perkara yang merangsang anda seperti sakit yang bersangatan atau terasa mahu membuang air besar atau air kecil. Ia merempuh masuk ke dalam khayalan anda dengan kuat. Tidak syak lagi, sudah pasti khayalan anda akan terdorong untuk berfikir tentang ubat kepada sakit yang anda alami atau bagaimana mahu membuang air besar atau air kecil, iaitu menggambarkan gambaran-gambaran yang rendah dan keji. Dengan itu, pengertian-pengertian tinggi yang sedang berlegar dalam tadabbur anda telah dicelahi oleh khayalan-khayalan yang rendah. Biarkanlah ia! Tiada sebarang kemudaratan, kekotoran dan bahaya. Yang bahaya ialah jika anda menumpukan perhatian padanya dan menyangka ia mengandungi bahaya.

WAJAH KETIGA:
Terdapat beberapa hubungan tersembunyi di antara benda-benda. Bahkan mungkin terdapat jaringan hubungan di antara benda-benda yang tidak kita jangkakan. Jaringan hubungan ini mungkin wujud secara realiti atau ia hanyalah hasil daripada khayalan yang membuat jaringan hubungan tersebut mengikut kerja yang dilakukan. Inilah rahsia kenapa kadang-kala berlakunya kedatangan beberapa khayalan yang buruk ketika melihat perkara-perkara yang suci dan kudus. Ini adalah kerana pertentangan yang menjadi sebab kerenggangan yang berlaku di luar, menjadi pendorong untuk melakukan pendekatan dan penjiranan dalam bentuk gambaran dan khayalan sebagaimana yang dimaklumi dalam ilmu al-bayan. Maksudnya hanya khayalan sahaja yang dapat menghimpunkan di antara dua benda yang saling bertentangan. Segala lintasan yang lahir dengan cara ini dinamakan sebagai ‘kekecamukan pemikiran’. Contohnya: Ketika anda sedang bermunajat kepada Allah di dalam sembahyang dengan penuh khusyuk, tadharru’ dan dengan hati yang hadir, tiba-tiba ‘kekecamukan pemikiran’ membawa anda kepada perkara-perkara buruk dan keji lagi memalukan serta tidak langsung mempunyai hubungan dengan anda. Wahai saudaraku! Jika anda dicuba dan diuji dengan ‘kekecamukan pemikiran’, maka janganlah sekali-kali anda merasa gelisah dan berdukacita. Bahkan anda hendaklah kembali kepada keadaan fitrah anda sebaik sahaja anda menyedarinya. Janganlah anda menyibukkan diri anda dengan berkata: “Aku telah melakukan kecuaian yang banyak …” Kemudian anda hendaklah mencari sebabnya … Anda juga hendaklah melaluinya begitu sahaja, agar hubungan yang lemah dan sepintas lalu itu tidak menjadi kuat dengan penumpuan yang anda berikan kepadanya. Kerana setiap kali anda memperlihatkan dukacita dan kesedihan, serta melebihkan tumpuan kepadanya, maka lintasan itu akan bertukar kepada adat kebiasaan yang amat tertanam kukuh secara berperingkat-peringkat sehingga ia akhirnya bertukar menjadi penyakit khayalan. Tetapi janganlah anda bimbang sama sekali! Ia bukanlah penyakit hati, kerana bisikan kejiwaan dan lintasan khayalan ini pada kebiasaannya akan tetap terbentuk dan terjadi meskipun ia tidak menjadi kehendak seseorang individu. Ia pada kebiasaannya terjadi. pada diri seseorang yang mempunyai keperibadian yang halus dan sensitif serta tabiat yang serius. Syaitan pula akan teguh mencengkam bersama dengan perasaan was-was ini.

Ubat atau penawar kepada penyakit ini ialah:

Ketahuilah bahawa anda tidak dipertanggungjawabkan terhadap ‘kekecamukan pemikiran’, kerana pada kebiasaannya ia berlaku di luar kehendak anda. Dalam pemikiran yang berkecamuk itu tidak berlaku sebarang percampuran dan persentuhan, tetapi hanya berlaku ‘perjiranan’ sahaja. Oleh itu, semua tabiat pemikiran tidak merebak dan berjangkit antara satu sama lain. Oleh itu, ia saling tidak memudaratkan. Sebagaimana berdekatannya kedudukan malaikat ilham dengan syaitan di sekeliling hati manusia tidak memberikan sebarang kemudaratan, maka begitu juga berdekatannya kedudukan golongan yang baik dengan golongan yang jahat dan keberadaan mereka pada satu tempat tidak mendatangkan sebarang mudarat. Begitu juga halnya jika lintasan-lintasan hati yang buruk yang tidak disengajakan bercampur baur dengan pemikiran-pemikiran yang suci dan murni, maka keadaan tersebut sedikitpun tidak akan mendatangkan kemudaratan jika ia tidak disengajakan, atau jika anda tidak terlalu menyibukkan diri anda dengannya sehingga anda menyangka ia akan mendatangkan mudarat kepada anda. Kadang-kala hati berada dalam keadaan kepenatan, maka pemikiran akan disibukkan dengan sesuatu yang tidak mendatangkan faedah secara kebetulan, lalu pada ketika itu, syaitan mengambil peluang dengan mengemukakan khayalan-khayalan yang keji dan menghamburkannya di sana sini.


WAJAH KEEMPAT: 
Iaitu sejenis was-was yang terbit daripada sikap keras yang melampau ketika mencari kesempurnaan amalan yang paling tinggi. Ketika sikap ini bertambah meskipun atas alasan taqwa dan warak, maka keadaannya akan bertambah buruk dan kompleks. Bahkan kadang-kadang dia mungkin terjatuh dalam perkara haram sedangkan ketika itu dia mahu memperoleh amalan salih yang paling sempurna. Kadang- kadang dia meninggalkan satu perkara wajib kerana mahu mendapat satu perkara ‘sunat’ kerana dia sentiasa bertanya sejauhmana kesahihan dan penerimaan amalan yang dilakukannya, lalu anda dapati dia akan sentiasa mengulangi- ulangi amalan tersebut seraya berkata: “Pada pendapat engkau, adakah amalan saya ini sah?” Keadaan berterusan hinggalah dia merasa kecewa dan berputus asa. Lalu syaitan mengambil kesempatan daripada kedudukannya itu dengan melepaskan panahnya sehingga menyebabkan luka dan kecederaan yang dalam.

Terdapat dua penawar bagi luka ini:

Penawar pertama: Ketahuilah bahawa was-was seumpama ini hanya layak bagi golongan Muktazilah yang berkata: “Sesungguhnya segala perbuatan para mukallaf dari sudut pembalasan akhirat adalah baik atau buruk pada zat dirinya sendiri. Kemudian syarak datang untuk mengesahkan bahawa perbuatan ini adalah baik dan perbuatan itu adalah buruk. Iaitu baik dan buruk adalah dua perkara tersendiri yang wujud pada tabiat segala benda menurut pembalasan akhirat. Manakala perintah dan larangan yang datang daripada Allah hanyalah datang kemudian dan ia hanya mengesahkan kebaikan atau keburukan sesuatu perkara.” Oleh itu, tabiat mazhab ini akan menjadikan manusia sentiasa mempersoalkan amalannya dengan berkata: “Adakah amalanku telah dilakukan dalam keadaan yang paling sempurna dan diredhai Allah s.w.t. sebagaimana zat diri amalan itu sendiri atau tidak?” Manakala golongan kebenaran iaitu ahlus sunnah wal jama’ah pula berkata: “Sesungguhnya apabila Allah s.w.t. memerintahkan sesuatu, maka benda itu adalah baik dan apabila Dia melarang daripada sesuatu, maka benda itu adalah buruk.” Maka dengan perintah dan larangan Allah, barulah sesuatu benda itu dapat dipastikan ia adalah baik atau buruk. Iaitu baik atau buruknya sesuatu benda adalah pada pandangan mukallaf itu sendiri dan kedua-duanya bergantung kepada kesudahannya di akhirat tanpa memandang kepadanya di dunia. Contohnya:
Jika anda berwuduk dan bersembahyang, yang pada ketika itu terdapat sesuatu tersembunyi yang membatalkan sembahyang atau wuduk anda, sedang anda tidak mengetahuinya, maka dalam keadaan ini, sembahyang dan wudhuk anda adalah sah dan baik dalam waktu yang sama. Tetapi di sisi Mu'tazilah, kedua-duanya adalah rosak dan batal dari sudut hakikat sebenarnya, tetapi kedua-duanya adalah diterima kerana kejahilan anda tentangnya, kerana kejahilan adalah satu keuzuran.
Demikianlah wahai saudaraku yang diuji! Dengan mengambil mazhab ahli sunnah wal jama’ah amalan anda akan menjadi sah tiada cacat cela padanya kerana ia selaras dengan zahir syarak. Awaslah anda daripada berwas-was tentang kesasihan amalan anda, tetapi dalam masa yang sama juga janganlah anda tertipu dengan amalan tersebut, kerana anda tidak tahu secara yakin adakah ia diterima di sisi Allah atau tidak!


Penawar kedua: Ketahuilah bahawa Islam adalah agama Allah yang benar. Agama yang mudah, tiada sebarang kesempitan padanya. Kesemua mazhab yang empat itu berada di atas kebenaran. Jika seseorang mendapati dirinya telah melakukan kecuaian, maka dia hendaklah mengelakkan dirinya dengan melakukan istighfar yang lebih berat timbangannya daripada perasaan tertipu dan terpedaya yang lahir akibat perasaan kagumnya terhadap amalan salih yang dilakukannya. Oleh itu, jika seseorang yang merasa was-was melihat dirinya telah berlaku cuai dalam amalannya, lalu dia beristighfar kepada tuhannya, maka tindakannya itu seribu kali lebih baik daripada dia terus tertipu dan terpedaya dengan amalannya. Dengan yang demikian, anda hendaklah membuang segala perasaan was-was dan menjeritlah kepada syaitan dengan berkata: “Sesungguhnya keadaan ini (was-was) adalah satu kesempitan. Sedangkan untuk mengetahui keadaan sebenar adalah satu perkara yang amat sukar, bahkan bercanggah dengan kemudahan yang menjadi ciri khusus agama Islam dan bertentangan dengan kaedah:
 لاَحَرَجَ فِى الدِّينِ
.

Sudah pasti amalan saya ini bertepatan dengan salah satu daripada mazhab Islam yang benar. Ini sudah mencukupi buatku untuk menjadi jalan buatku mencampakkan diriku di hadapan Tuhan yang menciptakanku dalam keadaan sujud dan bertadharru’ memohon keampunanNya, serta mengakui kecuaianku dalam melakukan amalan. Dia adalah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Menyahut Permintaan.


WAJAH KELIMA:
Iaitu was-was yang menyerupai pelbagai bentuk kekeliruan dalam isu-isu keimanan:

Ramai orang terkeliru sehingga menganggap kebingungan khayalan sebagai hasil daripada pemikiran akalnya sendiri. Iaitu dia menyangka kekeliruan yang menyelubungi khayalannya seolah-olah sesuatu yang diterima oleh akalnya, atau daripada kekeliruan akalnya sendiri. Lalu dia menyangka bahawa pegangan dan iktikadnya sudah rosak.. Kadang-kala dia menyangka bahawa khayalan yang digambarkan oleh kekeliruannya itu diterima dan dibenarkan oleh akalnya.. Mungkin dia menyangka bahawa segala pemikiran dalam isu kekufuran adalah kufur, iaitu dia menyangka bahawa semua bentuk pencarian, pemeriksaan, pengkajian, pemantauan dan keputusan yang diputuskan oleh akal yang bebas bagi mengetahui sebab-sebab kesesatan adalah bercanggah dengan iman. Lalu dia menggeletar dan menggigil berhadapan dengan segala ajaran dan hasutan syaitan itu sambil berkata: “Alangkah celakanya aku! Hatiku telah sesat dan iktikadku telah rosak dan cedera.” Bahkan mungkin dia tidak mampu memperbaiki keadaan tersebut dengan kehendaknya sendiri kerana tidak mempunyai kehendak yang mutlak, maka dia akan terjerumus ke lembah kekecewaan yang membunuh.

Rawatan bagi kecederaan ini adalah sebagaimana berikut: 

Sesungguhnya menggambarkan kekufuran bukanlah kufur, sebagaimana mengkhayalkan kekufuran bukanlah kufur. Begitu juga, menggambarkan kesesatan bukanlah kesesatan, maka berfikir tentang kesesatan bukanlah kesesatan. Ini adalah kerana khayalan, sangkaan, gambaran dan fikiran adalah berlainan langsung dengan pembenaran akal dan ketundukan hati.. Khayalan, sangkaan, gambaran dan fikiran adalah perkara-perkara bebas yang tidak bersempadan. Oleh itu, ia tidak terikat atau mempunyai hubungan dengan sudut ikhtiar yang ada pada kehendak seseorang manusia. Pada banyak keadaan, ia juga tidak tunduk di bawah tanggungjawab keagamaan. Sedangkan pembenaran dan ketundukan tidak demikian sifatnya. Kedua-duanya tunduk di bawah satu neraca. Khayalan, sangkaan, gambaran dan fikiran juga bukanlah pembenaran dan ketundukan, maka ia tidak dianggap sebagai kekeliruan dan keraguan. Tetapi jika keadaan ini sentiasa berulang-ulang mendatangi seseorang tanpa alasan sehingga ia mencengkam kuat pada dirinya, mungkin ia akan melahirkan satu jenis kekeliruan yang sebenar. Kemudian orang yang was-was itu mungkin akan tergelincir kerana ia akan berada di sebelah sana (yang berlawanan dengan iman) atas nama keputusan akal yang bebas atau atas nama keadilan sehingga ia berpegang teguh untuk terus berada di sebalik pihak keimanan tanpa sebarang pilihan daripadanya. Ketika itu dia akan meninggalkan komitmen yang diwajibkan ke atasnya terhadap kebenaran, lalu dia akan binasa, kerana tertanam di dalam hatinya bahawa dia adalah seorang wakil yang diberikan kuasa oleh pihak yang berlawanan dengan pihak keimanan iaitu pihak musuh atau syaitan.


Mungkin was-was yang paling bahaya daripada jenis ini ialah:

Bahawa seseorang merasa was-was terhadap al-imkan al-zati dan al-imkan al-zihni, iaitu dia menyangka dengan fikirannya dan mengesyaki dengan akalnya sesuatu yang boleh berlaku pada hakikat sebenarnya. Perlu dinyatakan di sini, terdapat satu kaedah ilm al-kalam dalam ilmu mantiq yang menjelaskan: “Bahawa kemungkinaal-imkan al-zati tidak menafikan keyakinan ilmu. Oleh itu tiada percanggahan antaranya dengan segala ketetapan akal yang diputuskan secara mudah tanpa memerlukan pemikiran yang mendalam.” Untuk menjelaskan perkara di atas, kami mendatangkan contoh berikut: 

Adalah satu perkara yang berkemungkinan bagi seseorang untuk menyelam di dasar Laut Hitam sekarang. Ini adalah suatu yang mungkin boleh berlaku melalui al-imkan al-zati. Kita juga hendaklah secara yakin memutuskan bahawa laut yang tersebut itu wujud di tempatnya sekarang. Kita tidak ragu-ragu tentang perkara ini sama sekali. Jadi kemungkinan tempat dan kemungkinan ia berlaku itu tidak melahirkan sebarang keraguan dan syak, bahkan ia langsung tidak mencacatkan keyakinan kita itu sama sekali.

Contoh lain: Adalah satu perkara yang mungkin berlaku iaitu matahari tidak akan tenggelam hari ini atau matahari tidak akan terbit pada esok hari. Tetapi kemungkinan ini tidak mencacatkan keyakinan kita sama sekali dan tidak menyebabkan sebarang keraguan walaupun sekecil zarrah sekalipun. Maka demikianlah, berdasarkan kedua-dua contoh yang telah dinyatakan di atas, segala sangkaan yang mendatangi al-imkan al-zati terhadap tenggelamnya kehidupan dunia dan terbitnya akhirat yang merupakan hakikat alam ghaib keimanan tidak akan menyebabkan sebarang kecacatan pada keyakinan kita sama sekali. Oleh itu, terdapat kaedah yang masyhur dalam usuluddin dan usul fiqh yang mengatakan:
 لاَعِبْرَةَ ِلْلاِحْتِمَالِ الْغَيْرِ النَّاشِئِ عَنْ دَلِيلٍ 

Jika anda berkata:
Apakah hikmat di sebalik ujian dan cubaan terhadap orang-orang beriman dengan was-was yang mengganggu jiwa dan menyakitkan hati ini? 
Jawapan: 
Jika kita berjaya mengenepikan sikap melampau dan menguasai yang ada pada was-was, maka waswas pada ketika itu akan menjadi pendorong kepada berhati-hati, menyelidiki, bersungguh-sungguh dan serius, dan dalam masa yang sama ia juga akan membuang sifat tidak mengambil perhatian dan terlalu bermudah-mudah. Kerana semua sebab inilah, Allah s.w.t. yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana menjadikan was-was sebagai seutas cemeti yang menggalakkan, yang diberikan kepada tangan syaitan agar menggesa manusia memperoleh hikmat tersebut semasa berada di dalam dunia ujian dan cubaan serta ketika berada di medan perlumbaan. Tetapi apabila syaitan menggunakannya sehingga terlampau memberikan kesakitan kepada kita, maka kita melarikan diri kepada Allah Tuhan yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana lagi Maha Esa,  sambil berteriak:
 اَعوُذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ