abcd

Yoppa

nuffnang

Risalah Ramadan - Nuktah Ketiga

Dengan Nama Allah Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Hikmah 3: Didikan Kasih Sayang

Salah satu hikmah yang mengarah kepada kehidupan sosial manusia ialah:

Manusia dijadikan dengan bentuk kehidupan yang berbeza. Berdasarkan perbezaan ini, Allah menyeru orang kaya supaya menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara mereka yang miskin. Orang kaya sudah tentu tidak dapat menghayati dengan sepenuhnya keadaan kemiskinan yang boleh mencetuskan perasaan kasihan belas itu. Mereka juga tidak mampu merasai kelaparan yang dialami oleh orang miskin melainkan melalui rasa lapar yang lahir daripada amalan berpuasa. Jika tidak kerana puasa, sudah pasti ramai orang kaya akan sentiasa menurut hawa nafsu mereka. Sudah pasti mereka tidak dapat merasai kelaparan dan kemiskinan yang memeritkan itu. Sudah pasti mereka tidak sedar betapa perlunya orang miskin kepada belas ihsan orang lain. Oleh itu, sifat kasihan belas terhadap sesama manusia merupakan salah satu faktor utama yang boleh mencetuskan rasa kesyukuran yang sebenar, kerana setiap orang mungkin akan berjumpa dengan orang yang lebih miskin daripadanya. Justeru, dia berasa bertanggungjawab untuk mengasihani orang tersebut.
Maka hendaklah kita saling berkenalan, tolong-menolong dan bantu-membantu. Sebagaimana firman Allah s.w.t.:
"Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)." (Surah Al-Hujuraat [49] : 13)
Jika manusia tidak dipaksa untuk merasai sendiri betapa peritnya berlapar, sudah pasti tidak akan ada seorang pun yang akan merasa kasihan terhadap orang lain, yang akan mendorongnya supaya membantu dan menolong orang tersebut. Perkara ini boleh dilakukan kerana adanya perasaan belas kasihan terhadap makhluk sejenisnya. Jika seseorang itu membantu orang miskin yang kelaparan tanpa merasai sendiri kelaparan itu, sudah pasti dia tidak akan dapat menghulurkan bantuan itu dengan sempurna kerana dia sendiri tidak pernah merasai betapa perit dan sengsaranya rasa lapar itu.


Maka puasa dapat membantu insan  merasai perasaan "empathy" kerana dapat mengalami apa yang telah dilalui oleh insan yang lain yang hidup lebih susah daripada mereka. Dengan itu, ibadah puasa dapat bantu memupuk perasaan belas kasihan dan mengukuhkan ukhuwah silaturrahim sesama manusia terutamanya muslim yang saling bersaudara.

Bediuzzaman Said Nursi