abcd

Yoppa

nuffnang

Risalah Ramadan - Nuktah Keenam

Dengan Nama Allah Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Hikmah ke-6: Bulan al-Quran

Dari aspek penurunan al-Quran dan bulan Ramadan sebagai bulan yang menerima penurunan itu, kami bawakan satu hikmah, iaitu:
Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (Surah Al-Baqarah 2:185)
Oleh kerana al-Quran al-karim diturunkan pada bulan Ramadan, maka segala kehendak yang buruk mesti dihindarkan. Perkara-perkara hina dan dusta hendaklah dilontarkan jauh-jauh sebagai persediaan untuk menyambut khitab samawi, yang sepatutnya disambut dengan baik; sesuai dengan khitab tersebut. Perkara ini boleh dilakukan dengan cara mengingati waktu dan masa al-Quran itu diturunkan, di samping berusaha menjiwai jiwa kerohanian para malaikat, iaitu dengan cara meninggalkan makan dan minum serta berqiamullail dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran seolah-olah ayat-ayat suci itu baru sahaja diturunkan. Mereka mendengar dan menghayatinya dengan penuh khusyuk. Mereka mendengar kandungan khitab samawi itu untuk mencapai kedudukan dan kerohanian yang tinggi. Mereka membaca ayat-ayat suci al-Quran seolah-olah mereka mendengarnya daripada Rasulullah (s.a.w), bahkan mereka begitu tertarik mendengarnya seolah-olah mereka mendengarnya daripada Jibril, bahkan daripada Allah (s.w.t) sendiri, Yang Maha Berkata-kata lagi Maha Azali. Kemudian al-Quran itu hendaklah dibaca dan diperdengarkan pula kepada orang lain sambil menjelaskan hikmah penurunannya.

Pada bulan Ramadan al-Mubarak, dunia Islam bertukar menjadi seperti sebuah masjid. Alangkah besarnya masjid itu, yang setiap sudut dan penjurunya dipenuhi oleh para penghafal al-Quran al-karim. Mereka mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran itu sehingga dapat didengari oleh semua penduduk bumi. Mereka menzahirkan kalam samawi itu dalam bentuk yang hebat lagi menarik. Mereka melakukannya untuk menyatakan kebenaran ayat suci al-Quran yang berbunyi :
 شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن 
dengan menegaskan bulan Ramadan sebenarnya ialah bulan al-Quran. Sementara orang lain yang berada dalam jemaah yang besar itu, ada yang mendengar bacaan para penghafal tadi dan ada yang membacanya sendiri.

Alangkah keji dan hinanya orang yang menjauhkan diri dari masjid yang suci, dan yang mempunyai kedudukan yang hebat itu, hanya kerana mereka mengejar makan dan minum serta mengikut hawa nafsu yang sentiasa menyuruh ke arah kejahatan! Betapa orang itu akan diperkecilkan secara maknawi oleh ahli jemaah masjid tersebut? Begitulah keadaan orang yang tidak berpuasa pada bulan yang mulia ini. Mereka akan menjadi sasaran penghinaan dan diperkecilkan secara maknawi oleh seluruh dunia Islam.

Bediuzzaman Said Nursi.