abcd

Yoppa

nuffnang

Risalah Ramadan - Nuktah Ketujuh


Dengan Nama Allah Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


خَيۡرٌ۬ مِّنۡ أَلۡفِ شَہۡرٍ۬

"..lebih baik daripada seribu bulan." (Al-Qadr 97:3)


Hikmah 7: Bulan Kebaikan


Dari aspek usaha manusia yang datang ke dunia ini untuk menanam tanaman akhirat dan untuk memperniagakan tanaman itu, bulan Ramadan mempunyai pelbagai hikmah. Akan tetapi, kami (Said Nursi) ingin sebutkan satu sahaja, iaitu:

Satu pahala amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan Al-Mubarak akan digandakan menjadi seribu. Sebagaimana yang diketahui, setiap huruf al-Quran al-karim menyamai sepuluh pahala. Ia dikira sebagai sepuluh kebaikan dan ia menghasilkan sepuluh biji buah dari Syurga sebagaimana yang diceritakan oleh hadis Nabi s.a.w. Akan tetapi pada bulan Ramadan, setiap huruf tersebut akan melahirkan seribu buah akhirat, bukannya sepuluh lagi. Setiap huruf ayat al-Quran, seperti ayat al-Kursi misalnya akan membuka pintu di hadapan ribuan kebaikan itu supaya buah-buahan hakiki di akhirat kelak akan keluar berjuntaian. Kebaikan tersebut akan bertambah pada hari Jumaat pada bulan Ramadan dan pada malam Lailah al-Qadr pula, kebaikan itu akan mencapai tiga puluh ribu kebaikan.

Benar, al-Quran al-karim memberikan sebanyak 30 ribu buah-buahan yang berkekalan kepada setiap hurufnya. Ia menjadi seumpama pohon nurani seperti pohon Tuba di dalam Syurga dan pada bulan Ramadan, orang-orang mukmin akan memetik buah-buahan yang sentiasa berkekalan itu, yang mencecah jutaan... Renungilah dan hayatilah perniagaan yang suci dan kekal lagi menguntungkan ini. Kemudian, fikirlah tentang mereka yang tidak menghargai nilai huruf-huruf yang suci ini dengan sebaik-baiknya. Alangkah besarnya kerugian yang ditanggung oleh mereka!

Begitulah, bulan Ramadan al-mubarak ini menyerupai sebuah pameran perniagaan akhirat yang sangat hebat. Ia umpama sebuah pasar yang sangat sibuk dan menguntungkan. Ia umpama tanah yang sangat subur dan kaya, yang mengeluarkan hasil-hasil akhirat. Ia umpama hujan yang turun pada musim menyemai untuk menyuburkan amalan dan keberkatannya. Ia umpama sebuah pesta dan perayaan yang besar, meriah lagi suci. Ia adalah sebuah pesta yang diadakan untuk mempamerkan lukisan pengabdian manusia terhadap keagungan dan kemuliaan Allah s.w.t.

Oleh itu, manusia dipertanggungjawabkan untuk berpuasa agar dia tidak terus-menerus lalai dan alpa, agar dia tidak terus menerus terjerumus dengan tuntutan kehaiwanan seperti makan dan minum yang merupakan keperluan diri, dan supaya dia dapat mengelak daripada terus tenggelam dalam nafsu syahwat dan perkara-perkara yang tidak memberikan apa-apa faedah. Melalui puasanya, dia menjadi seumpama sebuah cermin yang membalikkan sifat al-samdaniyah. Dia keluar buat seketika daripada sifat kehaiwanan dan masuk ke dalam satu keadaan yang menyerupai malaikat, atau dia menjadi individu akhirat dan roh yang dapat dilihat melalui jasad kerana dia ikut serta dalam perniagaan akhirat dan menjauhkan diri daripada tuntutan dunia yang sementara ini.

Benar, Ramadan al-mubarak memberikan kehidupan yang kekal dan apa sahaja kepada orang yang berpuasa di dunia yang fana ini. Satu bulan Ramadan sahaja boleh memberikan kepada seseorang yang berpuasa hasil yang boleh diperoleh oleh orang yang hidup selama lapan puluh tahun. Dan kedudukan Malam al-Qadr yang lebih baik daripada seribu bulan seperti yang disebut dalam al-Quran menjadi bukti kepada rahsia ini.

Misalnya, seorang raja akan menetapkan hari-hari tertentu semasa pemerintahannya atau pada setiap tahun, sama ada berdasarkan hari pertabalannya atau hari-hari lain sebagai hari yang penting bagi kerajaannya. Hari-hari tersebut dijadikan hari perayaan buat rakyatnya. Pada hari itu, beliau tidak berurusan dengan rakyatnya yang setia lagi berhak itu dengan cara biasa, sebaliknya beliau menjadikan mereka sebagai tempat untuk menyatakan ihsan, nikmat dan kebaikannya. Beliau menjemput rakyatnya masuk ke balairong serinya tanpa ada apa-apa tabir. Layanan istimewa diberikan kepada mereka. Anugerah dan kurniaan juga turut diberikan. Begitu juga dengan perhatian yang diberikan…terlalu istimewa. Begitulah juga dengan Yang Maha Berkuasa, Yang Azali, Yang Memiliki Ketinggian dan Kemuliaan, iaitu Sultan Yang Azali dan Abadi, dan Sultan Yang Maha Mulia bagi lapan belas ribu alam. Pada bulan Ramadan, Allah (s.w.t) menurunkan perintah-Nya yang mulia lagi tinggi, iaitu al-Quran al-karim yang ditujukan kepada ribuan alam tersebut. Oleh itu, ketibaan bulan yang berkat ini dianggap seperti sebuah pesta dan perayaan Ilahi yang istimewa lagi meriah. Ia seperti sebuah pameran Rabbani yang amat hebat. Ia umpama satu majlis kerohanian yang menakjubkan, yang merupakan satu tuntutan hikmah. Selagi bulan Ramadan berupa hari-hari istimewa yang meriah dan menyeronokkan, maka bulan tersebut mestilah dipenuhi dan dihidupkan dengan ibadat puasa agar manusia bebas daripada nafsu serakah haiwan. Puasa yang sempurna ialah puasa yang melibatkan semua pancaindera manusia seperti mata, telinga, hati, imaginasi, dan fikiran sepertimana puasa yang dilakukan oleh perut. Ini bermaksud orang yang berpuasa itu hendaklah menjauhkan pancaindera tersebut daripada perkara-perkara yang haram, keji dan tidak berfaedah. Dia juga hendaklah memandu pancaindera itu kepada pengabdian yang khusus.

Contohnya:
  1. Seseorang yang berpuasa akan menahan lidahnya daripada bercakap bohong, mengumpat dan mengeluarkan kata-kata keji serta menegahnya daripada melakukan kerja-kerja tersebut. Dia akan membasahkan lidahnya dengan membaca al-Quran al-karim, berzikir, bertasbih dengan memuji-Nya, berselawat ke atas Rasululah (s.a.w ) yang mulia dan beristighfar dengan zikir yang seumpamanya.
  2. Menahan matanya daripada melihat perkara-perkara yang haram dan menutup telinganya daripada mendengar perkataan-perkataan yang keji. Sebaliknya, dia hendaklah menggalakkan matanya agar melihat perkara-perkara yang memberi pengajaran. Dia hendaklah mendorong telinganya untuk mendengar al-Quran dan perkara-perkara yang benar. Dia hendaklah meletakkan seluruh pancainderanya dalam keadaan berpuasa.

Seperti yang diketahui, perut merupakan sebuah kilang yang sangat besar. Jika operasinya terhenti dengan berpuasa, maka operasi kilang-kilang lain yang lebih kecil dapat dihentikan dengan lebih mudah.

~Bediuzzaman Said Nursi