abcd

Yoppa

nuffnang

Taqwa Dan Amal Soleh


Dengan Nama Allah Yang Maha Suci
Assalamu alaikum warahmatullah wabarakatuh selama-lamanya


Wahai saudara-saudaraku yang mulia lagi setia!

Sesungguhnya dalam beberapa hari ini saya berfikir tentang asas-asas taqwa dan amal soleh, yang kedua-duanya adalah dua asas yang paling utama pada pandangan al-Quran al-Karim selepas iman.

Taqwa ialah meninggalkan perkara yang dilarang dan menjauhi segala dosa. Manakala amal soleh pula ialah melakukan perkara yang disuruh bagi mendapat kebaikan.

Zaman sekarang diselubungi dengan kemusnahan (akhlak dan roh), kebangkitan hawa nafsu yang amarah bissu' (sentiasa menyuruh melakukan kejahatan) dan pelepasan hawa nafsu daripada sebarang kekangan. Oleh itu, pada zaman sekarang, taqwa menjadi asas yang paling utama bahkan asas kepada segala asas. Ia juga menempati kedudukan paling utama kerana ia adalah penolakan kepada segala mafsadah (kerosakan) dan peninggalan segala dosa besar. Ini adalah kerana - pada setiap ketika - menolak kerosakan adalah lebih utama daripada menarik kemanfaatan, sebagaimana ditentukan oleh sebuah kaedah yang telah ditetapkan.

Oleh kerana aliran-aliran yang memusnahkan roh dan akhlak telah berselerakan di sana sini pada masa sekarang, maka taqwa telah menjadi asas yang terbesar dan teragung bagi menutup dan menghalang kemusnahan yang menggerunkan itu.
Sesiapa yang berjaya melaksanakan segala kefarduan yang diperintahkan kepadanya dan tidak melakukan dosa-dosa besar, maka dia akan terselamat dengan izin Allah. Kerana taufik untuk melakukan amalan yang ikhlas meskipun dikelilingi dengan pelbagai jenis dosa-dosa besar yang menggiurkan, adalah suatu perkara yang sukar berlaku.
Sesungguhnya sesuatu amalan soleh yang dilakukan meskipun sedikit akan menjadi banyak dan besar kesannya berdasarkan syarat-syarat yang berat itu dan dalam suasana yang mencengkam.

Kemudian di sana terdapat sejenis amal soleh yang termasuk di dalam kandungan taqwa itu sendiri. Kerana meninggalkan yang haram adalah wajib, sedangkan melaksanakan perkara wajib, pahalanya adalah lebih besar daripada pahala melakukan kebanyakan perkara sunat.

Pada zaman seperti ini, dosa dan kejahatan melakukan serangan dari segenap penjuru, maka perbuatan menjauhkan diri daripada satu dosa sahaja beserta dengan sedikit amalan kebaikan, sudah pun menyamai dengan meninggalkan ratusan dosa (yang berlaku akibat satu dosa tersebut) dan pelaksanaan ratusan kewajipan.

Noktah ini amat perlu diberikan perhatian. Namun ia tidak akan terhasil melainkan dengan niat yang ikhlas, taqwa dan tujuan untuk menjauhkan diri daripada dosa dan kejahatan. Seseorang akan memperoleh balasan pahala beberapa amalan soleh yang terbit daripada satu ibadat yang dia sedikit pun tidak mengerjakannya.
Sesungguhnya tugas yang paling penting yang mesti dilaksanakan oleh para penuntut Risale-i Nur yang menjadi khadam al-Quran pada masa sekarang ialah:
“Menjadikan taqwa sebagai asas segala amalan. Kemudian melangkah ke hadapan berdasarkan taqwa tersebut dalam menghadapi arus pemusnahan dan serangan yang menggerunkan dan dosa-dosa yang meliputi mereka. Kerana manusia hari ini ketika menjalani pelbagai bentuk kehidupan moden terpaksa berdepan dengan ratusan dosa dan kesalahan pada setiap minit. Maka tidak ragu lagi, taqwalah yang menjadikan seseorang itu seolah-olah melaksanakan ratusan amal soleh, kerana dia menjauhkan dirinya daripada melakukan perkara-perkara haram.”
Adalah diketahui bahawa dua puluh orang tidak akan mampu membina sebuah bangunan dalam masa dua puluh hari. Tetapi sesebuah binaan itu boleh diruntuhkan hanya oleh seorang sahaja dalam masa sehari.

Oleh itu, sepatutnya jika terdapat seorang melakukan keruntuhan dan kemusnahan akhlak dan roh, maka sepatutnya perbuatannya dibalas dengan dua puluh orang yang melakukan pembinaan dan yang memakmurkan sudut tersebut. Tetapi kita menyaksikan realiti yang sebaliknya. Ribuan orang melakukan keruntuhan dan kemusnahan, tetapi mereka hanya dihadapi oleh hanya satu pihak sahaja, dan pihak yang satu itu ialah Risale-i Nur.

Oleh itu, penentangan berseorangan yang dilakukan oleh khadam al-Quran dalam menghadapi pemusnahan yang menakutkan itu, merupakan satu keadaan yang amat menakjubkan. Apatah lagi jika kedua-dua kekuatan yang sedang berhadapan itu mempunyai tahap kemampuan yang sama. Pasti anda akan menyaksikan lebih banyak perkara yang amat menakjubkan dalam proses kemakmuran dan pembinaan (akhlak dan roh) yang berlaku itu.

Kami bawakan satu contoh sahaja bagi menerangkan-nya:
Sesungguhnya paksi utama dalam kehidupan bermasyarakat ialah golongan muda menghormati golongan tua dan golongan tua mengasihi golongan muda. Tetapi sekarang kita menyaksikan bahawa asas utama ini telah runtuh, sehinggakan kita kerap mendengar berita dan kejadian menyayat hati dan menyedihkan yang menimpa para ibu bapa. Ia berlaku lantaran runtuh dan musnahnya asas yang utama ini.
Syukur kepada Allah SWT, di mana sahaja Risale-i Nur ini berada, maka ia mampu menentang kemusnahan dan menghalang daripada berlaku keruntuhan terhadap asas kemasyarakatan yang utama ini, bahkan ia cuba untuk memakmurkannya.

Sebagaimana Ya'juj dan Ma'juj boleh melakukan kerosakan di atas muka bumi lantaran runtuhnya benteng Zulqarnain, maka kerosakan yang lebih buruk daripada kerosakan yang disebabkan oleh Ya'juj dan Ma'juj telah berlaku dan meliputi alam ini dengan kegelapan, keganasan serta huru hara. Kehidupan dan akhlak juga telah diselaputi oleh kezaliman yang keji dan kekufuran yang melampau. Oleh itu, kerosakan kelihatan dengan jelas sama ada di daratan dan di lautan, hasil daripada kejadian gempa yang menimpa benteng Zulqarnain seperti yang digambarkan dalam al-Quran yang merupakan syariat Nabi Muhammad SAW yang mulia.

Oleh itu, jihad maknawi yang dilakukan oleh para penuntut Risale-i Nur bagi menghadapi arus yang sedang melanda ini, dengan izin Allah SWT akan dianggap sebagai suatu jihad yang menghasilkan pahala yang besar, kerana ia mempunyai cebisan jihad yang dilakukan oleh para sahabat yang mulia, yang walaupun mereka melakukan amal yang sedikit, namun mereka diberikan ganjaran yang besar dan diperolehi amalan soleh. 
Wahai saudara-saudaraku yang mulia! 
Dalam waktu yang genting seperti ini, dan ketika berhadapan dengan peristiwa-peristiwa yang besar, maka kekuatan kita yang paling besar - selepas kekuatan keikhlasan - ialah kekuatan turut serta dalam melakukan amalan-amalan akhirat, kerana setiap orang daripada kamu akan mencatatkan kebaikan yang banyak di dalam buku catatan amalan saudaranya, sebagaimana melalui lidahnya dia menghulurkan bantuan dan pertolongan ke dalam kota dan kubu taqwa.
Terutamanya jika kamu memberikan bantuan kepada saudara kamu yang berhajat dan lemah ini, pertolongan yang hebat menghadapi pelbagai serangan dari segenap penjuru. Dia adalah orang yang amat memerlukan pertolongan kamu dalam tiga bulan yang diberkati dan diketahui di dalam Islam.

Saya tidak menolak kemungkinan untuk mendapat pertolongan tersebut daripada kamu, kerana kamu adalah layak untuk mengusahakannya. Kamu adalah para pahlawan yang setia dan mengasihani situasi yang sedang dihadapi oleh saudara kamu ini. Dan saya pula memohon kepada kamu dengan segenap anggota badan dan dengan sepenuh hati saya agar kamu memberikan kepada saya bantuan maknawi tersebut.

Dan saya pula akan menyertakan para penuntut Risale-i Nur di dalam doa-doa saya dan kebaikan-kebaikan maknawi saya, bahkan saya mungkin akan berdoa untuk kamu lebih daripada seratus kali sehari dengan nama para penuntut Risale-i Nur, dengan syarat kamu beriltizam dengan keimanan dan kesetiaan, kerana ia adalah perlembagaan bagi menyertai amal-amal akhirat.

Bediuzzaman Said Nursi