abcd

Yoppa

nuffnang

Risalah Ramadan - Nuktah Kelapan

 Kembali

Hikmah ke-8: Ubat Pencegahan


Salah satu hikmah berpuasa, yang berkait dengan kehidupan peribadi manusia dapat dirumuskan seperti berikut:

Ubat yang paling mujarab bagi manusia boleh diperoleh melalui ibadat puasa, iaitu melalui pencegahan, sama ada pencegahan secara fizikal atau secara rohani. Konsep pencegahan diakui ada dalam bidang perubatan. Ini kerana, selagi manusia bebas makan dan minum, maka selagi itulah dia akan mendatangkan kemudharatan fizikal terhadap kehidupan peribadinya. Begitulah juga keadaan kehidupan rohaninya, kerana apabila dia memakan semua yang diperolehnya, tanpa mengira halal haram, maka makanan itu akan meracuni kehidupan, bahkan nafsunya juga sudah sampai ke tahap mengingkari hati dan rohnya. Nafsu itu sudah tidak patuh dan tunduk lagi kepada hati dan roh. Nafsu itu akan mengawal diri seseorang itu dengan bebas tanpa ada sebarang sekatan. Lantas, ia memandu manusia ke arah syahwatnya tanpa dapat dijaga dan dikawal oleh manusia itu sendiri.

Akan tetapi, melalui amalan berpuasa dalam bulan Ramadan, dan dengan sejenis ubat yang dipanggil pencegahan, nafsu akan kembali ke bentuk normal. Nafsu akan berusaha dengan tekun untuk menyuci, melatih dan belajar mentaati suruhan. Ia tidak akan mendapat penyakit yang disebabkan oleh perut yang kekenyangan dan yang disumbat dengan pelbagai jenis makanan. Ia akan beroleh kekuatan untuk mendengar perintah yang datang daripada akal dan syarak. Ia akan berusaha menghindarkan diri daripada terjatuh ke lembah haram dan berusaha untuk tidak mengeruhkan kehidupan maknawinya.

Selain itu, pada kebiasaannya, kebanyakan manusia terdedah kepada kelaparan. Oleh itu, mereka memerlukan latihan dan latihan itu akan dapat dilaksanakan dengan cara berlapar. Cara ini dapat membiasakan manusia bersabar dan mampu menanggung kesusahan. Puasa pada bulan Ramadan merupakan satu latihan. Ia merupakan satu proses membiasakan diri untuk berpuasa dan bersabar menahan lapar selama lima belas jam atau 24 jam bagi mereka yang tidak sempat bersahur. Oleh itu, puasa merupakan ubat yang mujarab untuk mengubat kegelisahan dan kegopohan manusia dan ketidakupayaan mereka untuk menanggung perkara-perkara yang boleh menambahkan lagi musibah dan dugaan.

Begitu juga dengan perut. Ia bagaikan sebuah kilang yang mempunyai ramai pekerja dan kakitangan. Di sana; di dalam badan manusia itu terdapat organ-organ yang mempunyai hubungan dan kaitan dengan kilang (perut) tersebut. Sekiranya pada waktu siang bulan tertentu, jiwa tidak memberhentikan tugas-tugasnya buat seketika, maka perkara ini akan menyebabkan pekerja-pekerja tersebut lupa tugas khusus mereka. Ia akan membuatkan mereka lalai dan lupa pada zat mereka. Ia akan menjadikan mereka berada di bawah pengaruh nafsu. Seterusnya, alat dan organ lain akan rosak, berserabut dan terganggu kerana bunyi dan asap tebal yang keluar dari mesin kilang maknawi tersebut. Semua perhatian akan diberikan kepadanya dan mereka semua akan melupakan tugas penting mereka buat seketika. Disebabkan perkara inilah, kebanyakan para wali Allah yang salih berusaha melatih diri mereka dengan mengurangkan makan dan minum supaya mereka dapat memanjat tangga kesempurnaan.

Akan tetapi, dengan kedatangan bulan Ramadan, para pekerja tersebut menyedari bahawa mereka bukan dijadikan untuk kilang itu sahaja, bahkan mereka (organ dan pancaindera itu) juga dapat mengecapi kelazatan yang tinggi. Mereka turut dapat merasai nikmat kemalaikatan dan kerohanian dalam bulan yang mulia itu. Daripada terus lalai dan berfoya-foya dengan kilang itu, mereka memilih untuk memusatkan perhatian mereka kepada kelazatan dan nikmat tersebut. Oleh itu, kamu dapat melihat orang mukmin pada bulan Ramadan al-mubarak mendapat pelbagai cahaya, kelebihan dan kegembiraan maknawi, bergantung kepada tahap dan kedudukan masing-masing. Terdapat pelbagai peningkatan dan kelebihan bagi hati, roh, akal, rahsia dan perkara-perkara yang seumpamanya. Sekalipun perut menangis dan menjerit, tetapi dengan keampunan dan rahmat Allah (s.w.t.), semua anggota yang lain ketawa dan gembira.

~Bediuzzaman Said Nursi